Tumpuan :
Politik

PH sasar 32 kerusi untuk kekalkan Pulau Pinang

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Pakatan Harapan (PH) menyasarkan kemenangan di 30 hingga 32 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi mengekalkan Pulau Mutiara itu buat penggal keempat berturut-turut.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata sasaran itu lebih menyerupai pencapaian PH dalam Pilihan Raya Umum ke-12 dan 13, berbanding 37 kerusi yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

“Sekiranya kita dapat mengekalkan apa yg kita pernah dapat capai dalam PRU 2008 dan 2013, di mana kita mencapai kemenangan sebanyak 29 kerusi dan 30 kerusi dalam kedua PRU berkenaan.

“Jadi pada kali ini, sekiranya boleh mencapai 30 hingga 32 kerusi, ianya boleh dianggap satu keputusan yang memuaskan,” katanya ketika ditanya mengenai sasaran PH dalam PRN kali ini.

Pakatan Harapan (yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat) telah merampas Pulau Pinang dari Barisan Nasional (BN) dalam PRU-12 dengan memenangi 29 kerusi, dan menambah satu lagi kerusi dalam PRU-13, manakala meraih kemenangan besar dengan memenangi 37 kerusi dalam PRU-14.

Dua lagi kerusi dimenangi oleh BN dan satu lagi oleh PAS.

Empat ADUN dari PKR yang bertanding atas tiket PH telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang kemudiannya menubuhkan Perikatan Nasional bersama PAS dan Gerakan.

Bagaimanapun, 4 ADUN berkenaan diisytiharkan hilang kerusi mengikut Akta Anti Lompat Parti 2012.

Sementara itu, Chow turut ditanya mengenai pengagihan kerusi antara PH dan BN serta keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang mengumumkan akan bertanding solo dalam PRN.

“Rundingan antara PH dan BN di peringkat negeri telah selesai. Ada kerusi yang dipersetujui dan ada yang tidak. Oleh itu, proses rundingan telah diteruskan di peringkat pusat dan akan diumumkan selepas selesai nanti.

“Manakala berhubung keputusan MUDA (bertanding solo dan bukan bersama PH), ia juga akan dijelaskan oleh PH pusat,” tambahnya lagi.

Loading...
Terkini