PETALING JAYA: Pertuduhan yang dibuat terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di mahkamah bukanlah untuk menyekat kebebasan bersuara.
Sebaliknya, semua pihak perlu menyerahkan perkara itu kepada mahkamah untuk menentukan pengadilan kes.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub percaya, tiada sebab kukuh untuk mengatakan agensi awam dimanipulasi oleh kerajaan bagi melumpuhkan PAS dan Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.
Artikel berkaitan : Sanusi dakwa pertuduhan untuk jejaskan peluangnya dalam PRN
“Tidak betul sebenarnya untuk menyatakan agensi kerajaan digunakan untuk membataskan suara pemimpin, atau kumpulan tertentu”
“Saya yakin sebenarnya mereka menjalankan tugas dengan begitu profesional berlandaskan undang-undang negara dan ruang kebebasan bersuara di Malaysia hari ini sangat terbuka”
“Tetapi perlu digunakan secara berhemah, agar tidak melampaui batas sempadan adab dan undang-undang”, ujar beliau kepada Buletin TV3.
Tambah beliau, pemimpin politik disaran menunjukkan teladan yang baik terutama ketika tempoh berkempen menjelang PRN kali ini.
Sementara itu, penahanan dan pendakwaan terhadap Sanusi juga memberi mesej jelas terdapat beberapa perkara yang tidak molek disentuh oleh masyarakat terutama berkaitan institusi Raja.
Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM Mujibu Abdul Muis berpendapat, mengaitkan institusi Raja dalam kempen politik adalah satu tindakan yang melampaui batas kerana melanggar perlembagaan.
Artikel berkaitan : Sanusi didakwa buat kenyataan berbaur hasutan terhadap raja
“Untuk mengaitkan raja-raja dalam kempen yang melampaui batas adalah perkara yang tidak dapat dipersetujui kerana ia melanggar perlembagaan dan rukun negara, di samping khuatir akan menggangu ketenteraman dan keharmonian negara.
“Ini pengajaran terbaik kepada semua pihak agar berhati-hati dan berpegang kepada asas bernegara walaupun ada hak untuk bebas bersuara.” kata Mujibu ketika dihubungi Buletin TV3.
Bagi mengelak kejadian sama berulang, Mujibu mencadangkan perubahan yang sepadan terhadap undang-undang dilakukan.
Nada sama turut disuarakan penganalisis politik, Profesor Dr. Azmi Hassan yang menyatakan isu Raja termasuk bangsa dan agama tidak akan memberi sebarang manfaat termasuk terhadap politik.
“Jangka panjangnya akan merugikan diri sendiri, akan merugikan organisasi yang diwakili dan yang paling kritikal akan merugikan negara dan rakyat. Kerana rakyat akan rasa resah tentang perkara ini.” katanya kepada Buletin TV3.