Tumpuan :
Politik

Perlis perlu hulur salam perpaduan dengan Anwar

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

KANGAR: Sudah tiba masanya kerajaan Negeri Perlis yang baharu menghulurkan salam perpaduan bersama kerajaan persekutuan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Pengerusi PKR Perlis, Gan Ay Ling berkata, perkara itu wajar dipertimbangkan oleh kerajaan negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) bagi memupuk semangat perpaduan demi kepentingan rakyat secara keseluruhan.

“Semua impian rakyat Malaysia adalah kearah perpaduan tanpa ada isu perkauman dan sebagainya. Setelah pilihan raya berlalu, pembentukan kerajaan negeri dan pusat telah pun dibuat dan sudah tiba masanya kita dalam Malaysia bersatu padu, berganding bahu untuk membangunkan ekonomi negara serta basmi kemiskinan.

“Kita perlu bekerjasama seluruh rakyat Malaysia untuk memajukan negara sebab dalam beberapa hari ini saya tengok, kita saling bertengkar antara satu sama lain,” katanya kepada Buletin TV3.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tunggal Pakatan Harapan (PH) Perlis itu berkata, negara akan jauh ketinggalan dan kerugian besar sekiranya semangat perpaduan gagal dipupuk secara bersama.

“Kita harus henti bermusuhan sesama parti dan harus maju ke depan keseluruhannya. Tak kira sama ada kita di pihak kerajaan ataupun pembangkang. Kalau kerajaan, kena laksanakan kerja dan kalau pembangkang, perlu jadi pemantau sebagai pihak yang memberi sedikit pandangan dan kritikan.

Mengulas mengenai kejayaannya mengekalkan kemenangan di DUN Indera Kayangan pada PRU-15 dengan majoriti 1,837 undi, beliau menyifatkan ia sebagai satu amanah dan kepercayaan rakyat diatas kerja kuat yang dilaksanakan selama ini.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri juga tidak membuat apa-apa tawaran terhadapnya sebagai Adun tunggal pembangkang di Perlis.

Loading...
Terkini