KUALA LUMPUR: Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah bermula secara rasmi pada jam 8 pagi tadi membabitkan sejumlah 224,828 pengundi awal.
Daripada jumlah itu, 117,473 orang terdiri anggota tentera dan pasangan, manakala 107,355 lagi adalah polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan mereka.
Sebanyak 578 pusat pengundian awal dibuka di seluruh negara antaranya membabitkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kem-kem tentera, dengan sejumlah 970 saluran.
Berdasarkan warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 31 Oktober 2022 yang dimuat naik di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pusat mengundi awal akan ditutup secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 5 petang.
Untuk itu, SPR dalam kenyataan semalam menasihatkan pengundi supaya membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018/03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
SPR turut menyarankan pengundi awal yang positif COVID-19 untuk berhubung terus dengan pegawai kesihatan daerah bagi memudahkan urusan pengundian awal masing-masing.
Proses pengundian awal turut disaksikan ejen-ejen calon yang bertanding, selain disiarkan secara langsung menerusi Facebook SPR di beberapa pusat mengundi awal terpilih.
Kertas undi awal tidak akan dikira hari ini dan semua peti undi akan disimpan di lokap-lokap balai polis untuk jagaan selamat.
Kertas-kertas undi itu hanya akan dikira pada hari pengundian 19 November, bermula jam 4 petang di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR serta disaksikan oleh ejen-ejen calon.
PRU15 membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 116 kerusi DUN iaitu Perak (59), Pahang (42) dan Perlis (15).
PRK DUN Bugaya pula diadakan serentak dengan PRU15 selepas tertangguh berikutan proklamasi darurat bagi mencegah penularan COVID-19.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari penamaan calon pada 5 November lalu dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 18 November. – BERNAMA