comscore
Tumpuan :
Politik

Pengganti Salahuddin akan dipilih Disember ini – Mahfuz

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, beramah mesra dengan perwakilan parti di Mesyuarat Tahunan AMANAH kawasan Pasir Mas di Dewan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Tendong, di sini, hari ini. – FOTO: NSTP

PASIR MAS: Pengganti Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub, akan ditentukan melalui pemilihan Jawatankuasa Nasional AMANAH bagi penggal 2023-2026 yang dijadualkan berlangsung Disember ini.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima senarai calon memandangkan mesyuarat agung parti juga baru bermula.

Katanya, pihaknya tidak boleh membuat sebarang jangkaan mahupun spekulasi tentang siapa bakal calon yang akan menggantikan jawatan Allahyarham Salahuddin, namun mengharapkan yang terbaik dipilih.

“Sistem pemilihan jawatan dalam AMANAH agak berlainan dengan parti yang lain kerana tidak bertanding untuk satu jawatan tetapi bertanding untuk pemilihan 27 calon di peringkat nasional.

“Kemudian, kesemua calon berkenaan akan terbabit dengan mesyuarat bagi menentukan siapa yang paling layak untuk memegang sebarang jawatan seperti presiden, timbalan mahupun setiausaha.

“Apabila senarai sudah diperoleh barulah kita boleh membuat jangkaan, namun kesemuanya juga bergantung kepada keputusan pemilihan,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Tahunan AMANAH kawasan Pasir Mas di Dewan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Tendong, di sini, hari ini.

Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, meninggal dunia pada 23 Julai lalu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah, selepas mengalami pendarahan otak.

Mahfuz berkata, beliau mengharapkan pemilihan parti pada Disember akan berlangsung dalam suasana kekeluargaan yang mana yang kalah jangan disisihkan serta bersama yang menang untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Jelasnya, AMANAH sendiri menyasar kemenangan lebih banyak kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) agar parti itu lebih kukuh dalam kepimpinan negara.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini