![](https://media.buletintv3.my/2023/02/JxXmvjb4-cms-nini-43.jpg)
KUALA LUMPUR: Kemunculan semula Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil diyakini mampu meningkatkan kembali momentum pergerakan Wanita UMNO.
Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata, Shahrizat bukan sahaja mempunyai aura kuat untuk mentadbir, malah pengalaman mengemudi sayap parti itu amat penting dalam keadaan UMNO yang tengah suram berikutan kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15).
Bagaimanapun beliau akur jika Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berjaya mempertahankan jawatan itu pada pemilihan nanti.
“Tetapi saya yakin Shahrizat akan kembali dan Noraini juga semestinya sudah mendapat isyarat bahawa beliau kemungkinan akan mendapat pesaing.
“Kita lihat bermula 13 hingga 26 Februari ini, siapa yang akan menawarkan diri untuk bersaing merebut jawatan itu,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.
Sebelum ini BH melaporkan, ada antara Ketua Wanita UMNO Bahagian membuat pertimbangan dan kewarasan untuk meminta Shahrizat untuk kembali menerajui kepimpinan Wanita UMNO.
Haryaty berkata, walaupun beliau tidak pernah berada di bawah kepemimpinan Shahrizat, namun beliau melihat Shahrizat antara tokoh yang berjaya memperjuangkan wanita dengan lebih baik.
“Berbanding Noraini, beliau dilihat lebih menyokong Ketua Bahagian berbanding Ketua Wanita umpamanya ketika meletakkan lelaki menjawat jawatan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) , tetapi sebenarnya beliau boleh meletakkan EXCO Wanita untuk diketengahkan.
“Ketika berjawatan beliau tidak membantu, bayangkan jika tiada jawatan,” katanya.-BERITA HARIAN