Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) yakin dapat mengulangi masa kegemilangannya seperti yang pernah dikecapi sewaktu zaman Pilihanraya Umum ke-11 (PRU11).
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata sebagai persediaan ke arah itu, parti-parti komponen BN perlu bersatu hati dan menyelesaikan konflik dalaman yang mereka hadapi.
“Cukup-cukuplah timbulkan masalah dalaman, kita kena berpadu dari sekarang, kita kena dominan semula.
“Kita tak boleh pergi sendirian, kalau nak kuat kita kena santuni kawan-kawan kita supaya dominan balik,” katanya ketika ucapan perasmian Konvensyen Barisan Nasional Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Ahmad Zahid turut memberi peringatan tegas kepada ahli-ahli BN untuk tidak bersikap mementingkan diri dengan menggunakan orang lain untuk kepentingan politik sendiri.
“Apabila pijak orang lain untuk naik atas, bila kita di atas, orang pula akan pijak kita untuk turun dengan kehinaan, jangan senang naik, senang juga turun,” ujarnya.
Jelasnya, melalui rundingan yang baik, beliau turut yakin BN Wilayah Persekutuan akan memperoleh lima kerusi, bukan sekadar tiga kerusi.
“Kita buktikan dengan cara baik macam mana di Nenggiri (DUN), di Mahkota, kita sekarang ibarat pendulum jam, bila ianya berada di bawah ianya mesti naik ke atas semula, begitu juga semangat yang ada pada BN,” katanya.
Konvensyen itu turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng; dan Pengerusi MIC, Datuk S.Rajah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.