comscore
Tumpuan :
Politik

Pemuda UMNO aktifkan jentera, saling bantu calon parti gabungan sempena PRN

Foto : NSTP

KUALA TERENGGANU: Pergerakan Pemuda UMNO akan bersama-sama membantu jentera calon daripada Pakatan Harapan (PH) dalam kempen di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Ogos depan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Mohamad Akmal Saleh berkata, jentera daripada sayap parti itu sudah bersedia untuk diaktifkan bagi membantu calon memenangi kerusi Dewan Undangan negeri (DUN).

Katanya, Pemuda akan berkongsi pentas dan mengadakan aktiviti bersama dengan jentera pilihan raya PH.

“Tiga parti dalam gabungan PH jangan bimbang, kita akan bersama atas satu pentas membantu kempen bagi memastikan setiap calon memenangi kerusi DUN terutamanya membabitkan tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu.

“Kita juga mengharapkan semangat kerjasama daripada jentera pilihan raya parti itu (PH) untuk bersama atas satu pentas membantu calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Terdahulu, Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Merlimau merasmikan Program Bengkel Jalinan Pengundi Muda di Dewan Datuk Abu Bakar Daud, di sini, semalam.

Yang turut hadir Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi dan Ketua Pemuda UMNO negeri, Tengku Haphiz Tengku Putera.

PRN akan diadakan di enam negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos depan sebagai hari pengundian dan tarikh penamaan calon adalah pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata, tidak timbul isu kerjasama antara jentera pilihan raya dalam parti gabungan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, Pemuda UMNO dan PH sudah menyusun beberapa program secara bersama termasuk di peringkat pusat dan negeri sepanjang tempoh berkempen bermula akhir bulan ini.

“Pemuda UMNO tidak mempunyai masalah, termasuk berkongsi pentas ceramah bagi memastikan kemenangan calon BN dan PH.

“Antara program bersama akan dianjurkan Pemuda UMNO dan PH adalah pelancaran Geng Perpaduan Festival peringkat pusat pada Sabtu depan,” katanya.

Mengulas isu kerjasama dengan DAP akan dibangkitkan PAS, Dr Muhamad Akmal berkata, parti itu juga pernah berkongsi pentas dengan PKR, AMANAH dan DAP dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR) ketika menghadapi PRU 2008.

Loading...
Terkini