comscore
Tumpuan :
Politik

Pemimpin punyai jati diri, ikhlas dalam perjuangan tidak perlu lompat parti – Johari Ghani

Foto fail: Johari Abdul Ghani / Facebook

SANDAKAN: Pemimpin politik yang mempunyai jati diri dan ikhlas dalam perjuangan tidak perlu melompat parti, yang mana tindakan itu disifatkan boleh merencatkan proses pembinaan negara bangsa.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), sebelum sesebuah negara dibina, perkara yang paling penting adalah ada pemimpin untuk memimpin proses berkenaan.

“Apabila mempunyai pemimpin yang ada jati diri, iklas dalam perjuangan, dia tak perlu lompat, sama ada parti kuat atau lemah, dia tetap teruskan perjuangan.

“Banyak contoh kita lihat, yang kuat tak semestinya kuat selalu, yang menang tak semestinya menang selalu, yang kalah tak semestinya kalah selalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel forum ‘BN membina Negara Bangsa’ sempena Konvensyen BN Sabah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tiong Hua, di sini hari ini.

“BN membina negara. Sebelum negara dibina, paling penting perlu ada pemimpin, mesti pilih pemimpin. Pemimpin pula jangan ada budaya tukar parti apabila sudah menang.

“Apabila kita menang di bawah BN, janganlah lompat, baru boleh bina negara. Kalau kita sebuah parti, apabila menang dalam (bersama) BN, lepas itu lompat sana, lompat sini, bagaimana boleh membina negara bangsa,” katanya.

Kepada khalayak konvensyen berkenaan, beliau mengajak mereka tidak memilih individu melompat parti pada pilihan raya akan datang sebagai pemimpin.

Beliau juga mengingatkan, lawan boleh bercakap apa sahaja, termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tetapi selagi BN menjadi parti yang kuat, ia akan terus dihormati.

“Parti tak akan dihormati jika tak kuat, tak ada orang akan hormat kita kalau kita tak kuat. Kalau kita boleh tukar budaya politik kita, jangan lompat, saya percaya kita akan dapat Sabah yang akan datang, lebih hebat daripada mana-mana negeri di Semenanjung.

“Saya bagi contoh Sarawak, ini contoh yang kita kena tengok. Tak pernah dengar soal parti di negeri itu (ada isu) lompat. Di Sabah ini, kalau mahu pembangunan, untuk bina pembangunan, mesti tukar budaya politik kita.

“Selepas kita dapat pemimpin yang punya perjuangan, yang tak lompat-melompat, barulah kita boleh susun staregi untuk bangunkan negara,” katanya.

Beliau berkata, BN adalah gabungan parti yang sebenarnya mewakili masyarakat majmuk dan walaupun UMNO menjadi tunjangnya, parti diterajui Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu tidak pernah bertanding pilihan raya secara bersendirian.

“Kita pergi (bertanding pilihan raya) sebagai BN. Kita tahu kalau nak bangunkan negara ini, nak berikan kestabilan poltik, semua kaum kena kerjasama,” katanya.

Foto: NSTP

Tambahnya lagi, selama 28 tahun mentadbir Sabah, BN bersama pemimpin hebat berjaya membangunkan negeri ini, tetapi selepas peristiwa politik 2018, keadaan mula berpecah dan pembangunan terhalang.

“Selepas 2018, kita lihat Sabah tak lagi seperti sebelumnya. Selama 28 tahun, BN ada pemimpin hebat-hebat, kita ‘steady’, tak ada orang boleh usik. Selepas 2018, kita berpecah, lompat sana sini, tak boleh jalankan apa yang dapat bangunkan Sabah,” katanya.

Datuk Seri Johari berkata, Sabah mempunyai banyak sumber asli dan turut menyumbang kepada pembangunan negara.

“Semasa mula-mula mencapai kemerdekaan pada 1957, saiz ekonomi kita hanya RM 170 juta. Selepas 60 tahun, ekonomi yang digelar ‘ekonomi ubi kayu’ ini berkembang daripada RM170 juta sehingga mencapai saiz ekonomi RM1.6 trilion.

“Kalau pilihan raya, kalau BN diberi mandat semula, kita akan pastikan Sabah dapat saingi mana-mana negeri dalam Semenanjung. Lahirkan pemimpin-pemimpin hebat di Sabah, kukuhkan BN, tetapkan BN, BN akan bawa pembangunan di Sabah tanpa ragu-ragu lagi,” katanya.

Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sedia ada akan tamat pada September tahun depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini