Tumpuan :
Politik

Pemimpin BERSATU kesal penglibatan terus PAS dalam Himpunan Najib Razak

Datuk Seri Najib Razak. – FOTO: NSTP

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin BERSATU kecewa dengan PAS yang didakwa mengamalkan ‘politik oportunis’ kerana masih nekad meneruskan himpunan solidariti untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak Isnin ini.

Setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata, penglibatan PAS itu boleh menguatkan tanggapan negatif terhadap pembangkang.

Setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais

“Kalau kita lihat perhimpunan, pembangkang pula seolah-olah mereka ini tidak konsisten dengan prinsip perjuangan mereka,” katanya yang juga Setiusaha PN Wilayah Persekutuan, kepada Buletin TV3.

PAS dan Bersatu adalah sekutu dalam Perikatan Nasional (PN), namun hubungan antara mereka dikatakan kian rapuh atas beberapa isu yang dilihat menguji kelangsungan pakatan pembangkang itu.

PAS sebelum ini membuat kejutan apabila menggalakkan penyokong dan ahli parti itu menyertai himpunan solidariti untuk Najib yang diatur oleh UMNO di Istana Kehakiman Isnin depan.

Himpunan itu bersempena dengan pendengaran kes rayuan Najib berhubung isu Titah Adendum mengenai tahanan rumah.

Semalam, UMNO membatalkan himpunan itu sebagai menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang mahukan saluran perundangan yang ditetapkan untuk sebarang kes rayuan banduan dihormati.

Bagaimanapun PAS berkata parti itu tidak akan menarik balik gesaan untuk ahli PAS menghadiri himpunan berkenaan.

Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak Ogos 2022 atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.

Sementara itu, penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata isu himpunan solidariti petanda PAS dan Bersatu sudah tiada persefahaman terutamanya membabitkan koordinasi politik.

Malah tindakan PAS juga dilakukan tanpa merujuk kepimpinan Bersatu terlebih dahulu.

“Isu Datuk Seri Najib dalam adendum ini memperlihatkan PAS mengambil tindakan yang tidak selaras dengan kehendak rakan utamanya Bersatu,” katanya.

Tambahnya lagi, perkara itu jelas menunjukkan perbezaan pandangan dan ketidaksefahaman yang wujud antara kedua-dua parti.

“Sekiranya tidak diperbetulkan, ianya akan menjejaskan kerjasama mereka dalam pilihan raya umum, PRU ke-16 nanti,” jelasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini