Tumpuan :
Nasional

Pemilihan UMNO: Politik bukan gelanggang kalah mati – Johari

Johari, salah seorang daripada lapan calon yang berentap untuk jawatan Naib Presiden UMNO sesi 2023/2026.

Oleh Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Politik bersifat dinamik. Calon Naib Presiden, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kekalahan dalam politik bukan ‘kalah mati’.

Tambah beliau apa yang penting apabila berdepan dengan kekalahan itu, apakah pendekatan serta strategi untuk memenanginya semula.

“Macam saya dulu bertanding naib presiden, saya kalah 3 undi, masa 2018, kita cuba lagi, saya kalah pilihan raya, menang PRU13, kalah PRU14, lepas tu PRU15 lawan balik menang, jadi ia sangat dinamik, bukan kalah mati,” katanya.

Beliau ditemui pada mesyuarat dan pemilihan UMNO Bahagian Titiwangsa, di ibu negara, hari ini.

Tinjauan mendapati mesyuarat yang berlangsung jam 10 pagi, melibatkan kehadiran 476 perwakilan berjalan lancar.

Pengundian dibuat bagi Jawatankuasa UMNO Bahagian dan Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk sesi 2023/2026.

Tambah Datuk Seri Johari lagi, sesiapa sahaja yang kalah akan berpuas hati kerana proses pemilihan berjalan dengan telus.

Mesyuarat dan pemilihan UMNO ini turut berlangsung serentak di seluruh negara, melibatkan 189 bahagian dengan 160,000 perwakilan.

Datuk Seri Johari, salah seorang calon dari lapan calon bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti kali ini.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid calon mempertahankan jawatan itu.

Turut bertanding merebut tiga kerusi ketiga tertinggi itu, Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Mohd Yusof Musa@Jamaludin.

Loading...
Terkini