Oleh Baharudin Mohamed
MELAKA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar selesai membuang undi bagi proses pemilihan jawatan Ketua Puteri UMNO bagi sesi 2023 hingga 2026, hari ini.
Beliau yang bertanding merebut jawatan itu, membuang undi di Dewan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Datuk Haji Ahmad Othnin, Merlimau.
ADUN Rim itu tiba di dewan berkenaan pada jam 9 pagi sebelum selesai membuang undi sejam kemudian.
Seramai 261 perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Jasin hadir membuang undi bagi pemilihan Ketua Puteri UMNO bagi sesi berkenaan.
Pengundian itu dijalankan serentak dengan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Jasin di dewan berkenaan.
Sementara itu, Khaidirah ketika ditemui bersyukur apabila proses pengundian berkenaan berjalan lancar.
“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar kita punya sekretariat yang membantu Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) telah pun menjalankan tugas dengan baik.
“Kita pastikan semua proses tu berjalan dengan telus dan tiada unsur pengundi hantu atau kertas undi yang disabotaj dan sebagainya.
“Kalau begini caranya di setiap bahagian memang kita tak nampak keberangkatan berlaku sebarang ketirisan dalam kiraan undi nanti insyaallah,” katanya.
Khaidirah yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka antara enam calon yang mengesahkan merebut jawatan Ketua Puteri UMNO pada pemilihan parti bagi sesi 2023-2026.
Lima lagi calon ialah Ketua Puteri umno Bahagian Pandan, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin, Exco Puteri UMNO, Dr. Masliha Harun, Naib Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi, Exco Puteri UMNO, Fadwah Anuwar dan Setiausaha Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan.