![](https://media.buletintv3.my/2025/02/8BPryOKn-ANWAR.jpg)
Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
KUALA SELANGOR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada pucuk pimpinan PKR berhubung pertandingan dua jawatan tertinggi dalam parti berkenaan.
Katanya, beliau tidak akan mengganggu urusan berkenaan serta menghormati proses demokrasi yang berlaku.
“Biar mereka putuskan…saya tidak campur. Biar demokrasi yang bertanding, tak bertanding parti putuskan,” katanya.
Beliau yang juga Presiden PKR berkata demikian selepas hadir pada Majlis Pecah Tanah Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani Bestari Jaya, Tanjung Karang, Selangor hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, dilaporkan berkata PKR berkemungkinan tidak akan mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang ketika ini disandang oleh Datuk Seri Rafizi Ramli.
PKR memutuskan pemilihan bagi jawatan MPP, Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan diadakan pada 24 Mei depan.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh sebelum ini juga dilaporkan berkata pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan Cabang pula ditetapkan pada 11 hingga 20 April.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.