Tumpuan :
Politik

Pemilihan PKR: Amirudin akan umum selepas jumpa Anwar esok

Amirudin mengetuai pukulan rebana pada majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran PKR Melaka, malam ini. – Foto NSTP

AYER KEROH: Keputusan sama ada bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR atau sebaliknya akan diputuskan esok, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, perkara itu akan diumumkan sejurus mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR di Putrajaya.

“Ada permintaan daripada banyak pihak (untuk bertanding Timbalan Presiden) tapi saya kena berbincang sedikit dengan penyokong sebab mereka mengharapkan sesuatu pertandingan di peringkat lebih tinggi.

“Jadi saya rasa pada hari ini kalau tanya saya, kecenderungan saya adalah untuk mempertahankan jawatan sekarang (Naib Presiden) namun, keputusan rasminya esok,” katanya selepas menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran PKR Melaka di sini, malam ini.

Mengulas lanjut, Amirudin turut mengakui ada permintaan akar umbi yang mahu beliau bertanding bagi jawatan nombor dua parti berkenaan.

“Sebab itu saya ingin tegaskan bahawa isu yang paling penting di sini adalah bagaimana memperkukuhkan parti sebagai sebuah parti yang penting dalam Kerajaan Perpaduan, justeru di kala kita menyokong Datuk Seri Anwar, maknanya parti kena betul-betul jitu dan tidak berpecah-belah.

“Saya bimbang kalau ada pertarungan yang terlalu sengit di pelbagai peringkat akan menimbulkan perbalahan walaupun kita ada hak demokrasi.

“Perkara ini menjadi pertimbangan paling serius untuk saya membuat keputusan berkenaan. Esok saya akan maklumkan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan PKR memutuskan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan, diadakan pada 24 Mei depan.

Loading...
Terkini