comscore
Tumpuan :
Politik

Pemilihan DAP: Keputusan Kon Yeow tak jejas pentadbiran Pulau Pinang

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Keputusan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow untuk tidak mempertahankan jawatan sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang pada pemilihan parti negeri akan datang tidak memberi kesan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri itu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, Kon Yeow akan terus memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang sehingga akhir penggal ini.

“Ia selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negeri yang mengehadkan jawatan Ketua Menteri selama dua penggal maksimum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kon Yeow hari ini mengumumkan untuk tidak akan mempertahankan jawatan Pengerusi DAP Pulau Pinang dan menarik diri dari pemilihan parti dalam Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang pada 22 September ini.

Jelasnya, keputusan itu diambil bagi memberi laluan kepada pemimpin baharu dalam melaksanakan rancangan penggantian kepimpinan negeri.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, beliau menghormati keputusan dan pendirian Kon Yeow demi pembaharuan dalam kepimpinan DAP Pulau Pinang setelah menerajui jawatankuasa negeri parti berkenaan selama 25 tahun.

“Sebelum pengumuman hari ini, beliau telah berbincang dengan saya berkenaan hasrat ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini