comscore
Tumpuan :
Politik

Pemilihan BERSATU: Hamzah disebut-sebut cabar jawatan Presiden

Hamzah (kanan) disebut antara pencabar utama jawatan Presiden BERSATU sekiranya Muhyiddin memutuskan untuk tidak bertanding pada pemilihan akan datang.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin antara disebut sebagai pencabar utama jawatan tertinggi parti itu sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden memutuskan untuk tidak bertanding pada pemilihan akan datang.

Sumber BERSATU berkata, Muhyiddin kemungkinan berundur daripada bertanding sebarang jawatan dan hasratnya itu juga sudah lama dimaklumkan kepada kepemimpinan parti.

“Tan Sri (Muhyiddin) mungkin akan undur diri dan menjadi penasihat kepada parti,” kata sumber itu seperti dilaporkan FMT.

Sumber sama berkata, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mempunyai sokongan cukup kuat dalam kalangan ahli BERSATU untuk memimpin parti berkenaan.

Selain Hamzah, Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula katanya, dijangka mempertahankan jawatan nombor dua parti kerana tidak mempunyai pengaruh kuat untuk mencabar Hamzah.

“Ahmad Faizal dijangka mempertahankan jawatan Timbalan (Presiden) tetapi kalau pergi lagi (bertanding Presiden), memang makan diri sendiri kerana reputasi beliau dalam parti jatuh merudum selepas memimpin Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan.

“Hamzah pula sebaliknya, kredibiliti beliau terbukti dengan memegang pelbagai jawatan, antaranya Ahli Parlimen Larut, Ketua Pembangkang (di Dewan Rakyat) dan Setiausaha Agung BERSATU serta PN.

“Memang laluan mudah untuk Hamzah (menang tanpa bertanding),” katanya.

Pada Mei lalu, pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan Bahagian BERSATU ditangguhkan sehingga 18 bulan bagi memberi ruang untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bagaimanapun, penangguhan itu tidak termasuk pemilihan peringkat cawangan.

Sumber sama memaklumkan, berdasarkan perlembagaan parti, mana-mana ahli yang berhasrat untuk bertanding jawatan ‘Top 5’ atau kedudukan lima tertinggi parti mesti menganggotai MPT sekurang-kurangnya dua penggal penuh.

“Boleh bilang dengan jari siapa MPT yang sudah dua penggal… Hamzah, Ahmad Faizal, (Datuk) Wan Saiful Wan Jan, (Datuk Seri Dr) Ronald Kiandee, (Datuk) Rosol Wahid, (Datuk Dr) Radzi Jidin antaranya,” kata sumber itu.

Ditanya mengenai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sumber itu berkata bekas Menteri Besar Selangor itu tidak layak untuk bertanding kerana hanya dilantik ke jawatan MPT dan bukannya melalui pemilihan parti.

Namun katanya, keadaan itu boleh berubah sekiranya perlembagaan parti dipinda untuk membolehkan mana-mana ahli BERSATU bertanding jawatan lebih tinggi.

Sementara itu, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris ketika dihubungi FMT berkata, pemilihan akan dimuktamadkan pada mesyuarat pimpinan parti yang akan diadakan selepas PRK di Johor selesai.

“Tangguh 18 bulan maksimum, tetapi kalau kita sempat selesai awal masalah sikit-sikit mengenai pindaan (perlembagaan), kita akan buat lebih awal.

“Kita tengah susun cawangan, bahagian… kita ada nak ubah peraturan sikit. Pinda sikit untuk pemilihan,” katanya.

Loading...
Terkini