KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal mengalas jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu bagi penggal 2024-2027 hari ini.
Jawatan Timbalan Presiden pula dimenangi Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Hamzah sebelum ini memegang jawatan Setiausaha Agung BERSATU menang tanpa bertanding jawatan kedua tertinggi parti itu.
Bagi jawatan Naib Presiden pula, menyaksikan pertandingan sengit enam penjuru yang berpihak kepada Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Jidin (kekal), Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee (kekal) dan Ketua BERSATU Bahagian Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (baharu).
Sebelum ini, Ahmad Faizal yang memegang jawatan Timbalan Presiden pada penggal lalu berundur daripada jawatan itu.
Tiga calon Naib Presiden yang kecundang ialah Timbalan Ketua BERSATU Selangor, Rafiq Abdullah, Ketua Penerangan BERSATU, Razali Idris dan Ketua BERSATU Bahagian Batu Kawan, Aziss Zainal.
Pemilihan BERSATU bagi penggal baharu ini turut menyaksikan 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dipilih antaranya Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz,(Ahli Parlimen Tanah Merah), Datuk Zainol Fadzi Paharudin (ADUN Sungai Manik), Datuk Wan Saiful Wan Jan (Ahli Parlimen Tasek Gelugor) dan Dr Afif Bahardin (ADUN Taman Medan).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.