comscore
Tumpuan :
Politik

Pemberian itu adalah inisiatif difikirkan wajar untuk rakyat – SPRM

Foto : NSTP

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan geran RM350,000 diumumkan kerajaan kepada belia Terengganu sebagai pemberian dari pemerintah dan tiada unsur rasuah.

Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki berkata sumbangan diumum Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi itu membabitkan RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan RM250,000 Majlis Belia Malaysia (MBM) Terengganu yang dipersoalkan pelbagai pihak kerana menjelang PRN di enam negeri.

“Ini adalah sebuah kerajaan pemerintah yang boleh melaksanakan inisiatif yang difikirkan wajar untuk rakyat.

“Pada hemat saya, tiada masalah berhubung isu pemberian geran ini kerana ia merupakan inisiatif kerajaan. Jadi kalau inisiatif peruntukan yang telah diluluskan kerajaan, ia tiada unsur rasuah,” katanya menurut FMT.

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man membidas SPRM yang masih membisu berhubung pengumuman Zahid mengenai pelbagai sumbangan dan geran kepada belia Terengganu, Jumaat lalu, sehari sebelum penamaan calon berlangsung semalam.

Selain sumbangan kepada gabungan belia Ketengah dan MBM Terengganu, Zahid juga mengumumkan bantuan RM200,000 kepada kelab bermotosikal di negeri itu.

Dalam majlis itu, Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menggesa belia yang hadir pada majlis itu supaya mengundi “gelombang biru dan merah” pada PRN bulan depan.

Terengganu antara enam negeri diadakan PRN selain Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menuduh Zahid cuba “menormalkan rasuah” namun dinafikan Zahid.

Artikel berkaitan : PAS kecewa SPRM diam diri

Loading...
Terkini