Tumpuan :
Politik

Pembahagian Kerusi PH Hampir Selesai

Presiden Amanah, Mohamad Sabu. (FOTO: NSTP)

KEPALA BATAS: Parti Amanah Negara (Amanah) hampir selesai memilih calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan tinggal dua lagi kerusi yang belum diputuskan jika diberikan kepada parti itu.

Presidennya Mohamad Sabu, berkata sebahagian besar proses pembahagian kerusi komponen Pakatan Harapan (PH) sudah dimuktamad.

“Kita sudah 98 peratus selesai membuat pembahagian kerusi membabitkan semua kawasan yang ingin ditandingi Amanah. Cuma tinggal satu atau dua lagi kerusi yang belum dimuktamadkan calonnya.

“Ia juga termasuk kerusi dengan rakan-rakan gabungan kita dari PH kerana kita bukan nak bertanding untuk kemenangan Amanah sahaja tetapi juga mahu pastikan rakan-rakan kita turut menang,” katanya di sini, malam tadi.

Mohamad berkata, Amanah Pulau Pinang akan bertanding di dua kawasan Parlimen dan lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketika ditanya sama ada beliau akan kembali semula bertanding di Pulau Pinang , Mohamad berkata, beliau tidak menolak kemungkian itu sekiranya parti mengarahkannya berbuat demikian.

Katanya, beliau pernah dua kali bertanding di negeri ini, iaitu pada pilihan raya tahun 1982 dan 1986.

“Namun, parti dan juga rakan parti dari PH, mereka akan menilai dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada PRU-14, Amanah bertanding di 34 kawasan Parlimen dan 119 kerusi DUN.

Daripada jumlah itu, sebanyak 11 kerusi Parlimen dimenangi Amanah membabitkan wakil rakyat dari Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka, Pahang dan Johor. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini