comscore
Tumpuan :
Politik

Pemangku Raja Pahang Belum Beri Tarikh Menghadap

KUANTAN: Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menunggu tarikh menghadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk memohon perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Wan Rosdy berkata, beliau belum mendapat tarikh menghadap baginda dan tidak dapat memaklumkan tarikh DUN Pahang dibubarkan.

“Saya tidak dapat tarikh tuanku (Pemangku Raja Pahang) untuk menghadap. Setakat ini tidak boleh maklumkan tarikh DUN Pahang dibubarkan,” katanya kepada media ketika diminta mengulas tarikh pembubaran DUN Pahang.

Ditanya Barisan Nasional (BN) Pahang akan menampilkan calon baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), beliau berkata, setakat ini belum dimuktamad.

Mengenai manifesto BN Pahang pada PRU-15, Wan Rosdy berkata, pembentangan Belanjawan Pahang 2023 boleh dianggap manifesto.

“Belanjawan Pahang 2023 boleh dianggap sebagai manifesto, belanjawan kerajaan negeri,” kata Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN Pahang.

Pada PRU-14, BN kekal meneraju Pahang selepas memenangi 25 daripada 42 kerusi DUN, sementara Pakatan Harapan (PH) memperoleh sembilan kerusi manakala PAS, lapan kerusi. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini