LANGKAWI: PAS akan menarik balik pemecatan dua bekas ahli parti itu yang bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah dan Ayer Hangat, dengan syarat kedua-dua mereka segera menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Kedua-dua calon itu adalah Mazlan Ahmad yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS Langkawi dan bertanding sebagai calon Bebas DUN Kuah, manakala bekas Bendahari Pemuda PAS Langkawi, Safwan Hanif Shafie (Bebas, Ayer Hangat).
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata tawaran itu sebagai usaha terakhir memastikan Perikatan Nasional (PN) menang dalam saingan merebut dua kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
“Saya masih beri peluang dan jaminan mereka tidak akan dikenakan tindakan (pecat), dengan syarat kedua-dua mereka perlu segera buat pengisytiharan (menarik diri) dan meminta pengundi tidak lagi mengundi mereka.
“Mungkin tindakan (Mazlan dan Safwan Hanif) sebelum ini adalah terlanjur dan tanpa berfikir panjang. Jadi ini peluang kedua bagi mereka,” katanya ketika berucap dalam ceramah pilihan raya di Kampung Kelibang di sini, malam tadi.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan calon PN bagi kerusi DUN Kuah, Amar Pared Mahamud.
Berucap pada program ceramah sama, Hamzah berkata, dakwaan kedua-dua calon Bebas mengatakan tindakan mereka bertanding telah mendapat restu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor adalah bohong.
“Sebelum mai (datang) Langkawi, Saya dan (Datuk Seri) Takiyuddin berjumpa dengan Menteri Besar Kedah di Alor Setar dan dia menafikan dan tidak sesekali memberi restu kepada kedua-dua calon Bebas berkenaan.
“Kami juga sepakat, hanya seorang calon daripada PN masing-masing bertanding bagi kerusi DUN Kuah dan Ayer Hangat, manakala calon lain (Bebas) tiada kaitan dengan PN. Itu kena jelas dan faham,” katanya.