comscore
Tumpuan :
Politik

PEJUANG umum tarik diri daripada Gerakan Tanah Air (GTA) – Mukhriz

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Parti PEJUANG kali kedua di sini, hari ini. – FOTO: NSTP

SERI KEMBANGAN: Perwakilan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mengumumkan tarik diri daripada Gerakan Tanah Air (GTA) pada mesyuarat agung kedua parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata ketetapan itu juga membolehkan PEJUANG diberikan sedikit masa untuk mengukuhkan parti dalam banyak perkara dilakukan sebelum ia benar-benar dapat memberi nilai tambah kepada mana-mana parti dalam gabungan itu.

“Oleh itu, perhimpunan agung ini juga adalah badan paling tinggi dalam parti membuat keputusan PEJUANG untuk berundur secara terhormat daripada GTA.

“Selain itu, kita turut mengadakan perbincangan panjang lebar mengenai gabungan mana yang kita (PEJUANG) jika sertai sekiranya ada menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlaku dalam tahun ini.

“Jadi dalam hal ini, banyak pandangan dikemukakan, daripada pembahas yang mewakili negeri-negeri, akhirnya mandat diberikan kepada Majlis Eksekutif Pusat (MEP) untuk meneruskan rundingan dengan mana-mana pihak dan diputuskan di peringkat MEP,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini, hari ini.

Terdahulu, PEJUANG mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) di hotel sama.

Mukhriz berkata, pada masa ini, PEJUANG tiada mempunyai sebarang keputusan, selain mandat untuk parti terbuka untuk berunding dan berbincang dengan mana-mana pihak.

“Rundingan itu belum dibuat dan berbincang pun secara tidak rasmi, tetapi dalam masa terdekat ini kita akan bertemu pemimpin daripada gabungan sedia ada untuk kita terokai mengenai kemungkinan kerjasama yang boleh dipupuk sekiranya boleh, kalau tidak boleh tidak apalah.

“Kita bukanlah seperti hidung tidak mancung, pipi tersorong-sorong.

“Mandat yang diterima adalah meneruskan rundingan dan saya terpaksa mengakui, pandangan daripada negeri adalah berbeza-beza, mengikut keadaan di negeri itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, satu jawatankuasa akan ditubuhkan MEP untuk menilai semua pilihan yang ada.

Berkenaan PRN, beliau berkata, semangat ahli berada pada tahap tinggi walaupun melalui banyak perkara khususnya keputusan PRN Johor dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Namun kita merasakan tetap bersedia untuk menawarkan calon berbanding di PRN, iaitu buat keputusan di negeri mana kita berbanding, berapa bilangan kerusi dan tidak semestinya semua negeri,” katanya.

Menjelaskan lanjut mengenai PRN, beliau berkata, PEJUANG akan meletakkan calon di negeri yang mana kehadiran partinya sudah dirasai selain tempat yang sudah banyak aktiviti dan mempunyai ahli ramai dengan beliu berpendapat negeri itu wajar untuk ditandingi.

Ini kerana, ada teguran yang mahu PEJUANG ‘mengukur baju di badan sendirí’ dan apa jua ketetapan itu mengikut kemampuan parti.

“Ketetapan mengikut kemampuan ini bukannya bermaksud dana, tapi sentimen kepada parti, berapa ramai ahli, kesiapsiagaan serta kebolehmenangan yang boleh jadi ukuran, itu yang akan diberi perhatian.

“Ini kerana PRN tidak seperti PRU untuk kerusi Parlimen, yang pengundinya mahukan orang tempatan, senang untuk menarik sokongan.

“Ia susulan pada PRU15 lalu, kita hadapi masalah apabila orang tidak kenal calon, masa berkempen itu kita habiskan masa untuk perkenal calon, jadi di peringkat Dewan Undangan Negeri, tentunya calonnya orang yang sudah dikenali,” katanya.

Mukhriz juga memaklumkan, perwakilan sebulat suara melepaskan Pengerusi PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad dan sangat berterima kasih atas sumbangan dan jasa bekas Perdana Menteri itu kepada parti.

“Kami tidak bermusuh dengan GTA dan tujuan kami berundur bukan cari gaduh dengan sesiapa, jika dalaman kami sendiri ada masalah, apa nilai tambah yang dapat diberikan,” katanya.

Mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan, Mukhriz menyatakan apabila ia suatu yang mengejutkan dan bermakna demokrasi sudah terkubur.

Loading...
Terkini