comscore
Tumpuan :
Politik

Peja nafi ‘jual’ kerusi, akui kempen ala kadar

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Foto NSTP

SEREMBAN: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan dakwaan beliau ‘menjual kerusi’ dalam pemilihan calon bagi gabungan itu.

Ahmad Faizal yang lebih dikenali sebagai Peja berkata, sekiranya boleh ‘menjual kerusi’, mereka tidak mempunyai masalah kewangan seperti pada masa ini.

“Kalau lihat, kami berkempen dengan begitu ala kadar, kami tak ada jual kerusi, malah bebanan kepada pimpinan dalam menghadapi pilihan raya ini amat getir dan besar.

“Tak apalah, kepada mereka yang telah membuat dakwaan fitnah bahawa saya telah menjual kerusi itu, saya ampunkan supaya mereka tak payah cari saya di Padang Mahsyar nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Munajat Akbar dan Jelajah PN Best di Sendayan, malam tadi.Sebelum ini, calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN Sikamat, Mohammed Hafiz Baharudin dilapor mendakwa wujud elemen ‘jual kerusi’ dalam pemilihan calon PN Negeri Sembilan.

Beliau yang juga ahli parti BERSATU berkata, dakwaan itu timbul selepas mendapati senarai calon yang diumumkan sangat lemah dan tidak berpotensi untuk menang.

Mengulas mengenai kenyataan pimpinan BN dan PH yang seringkali melaungkan kemenangan 36-0 di Negeri Sembilan, Ahmad Faizal berkata, pihaknya yakin akan memberikan saingan hebat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

“Kami yakin akan memberi saingan hebat. Kalau mereka (BN dan PH) yakin dengan 36-0, mana mungkin pemimpin utama negara terpaksa datang ke sini saban malam sejak penamaan calon.

“Saya ingat empat malam berturut-turut. Saya dapati juga calon-calon nama besar terpaksa berkampung di tempat masing-masing untuk mempertahankan diri,” katanya.

Loading...
Terkini