comscore
Tumpuan :
Politik

Pegawai khas bekas Adun, pilihan PN di PRK Sungai Bakap


NIBONG TEBAL: Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai depan.

Pengumuman calon itu dibuat oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Abidin dikenali sebagai pembantu Allahyarham (Bekas Adun Sungai Bakap yang meninggal dunia) Nor Zamri Latiff dalam melaksanakan khidmatnya sebagai wakil rakyat.

“PN yakin beliau dapat melaksanakan tugasnya sebagai Adun dengan cemerlang berbekalkan pengalaman beliau selama ini,” katanya dalam Majlis Pengisytiharaan Calon di Simpang Ampat, di sini, malam ini.

Turut hadir, Naib Presiden Bersatu, Datuk Radzi Jidin; Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Pesuruhajaya Pas Pulau Pinang, Fauzi Yusof.

Menurut Abidin, 45, yang merupakan eksekutif logistik, beliau yakin kerusi Sungai Bakap kekal dengan PN sebagai mengekalkan momentum Pilihan Raya Negeri lalu.

“Saya berterima kasih kepada kepimpinan PN kerana beri kepercayaan dan amanah kepada saya sebagai calon PN dalam PRK Sungai Bakap.

“Jika saya dipilih oleh rakyat Sungai Bakap, saya akan meneruskan legasi arwah (Nor Zamri), saya masih terbayang kenangan rapat dengan arwah sebagai pegawai khas beliau.

“Saya percaya pengalaman saya timba selama 8,9 bulan sebagai pegawai khas Adun mampu kekalkan kemenangan PN di Sungai Bakap,” katanya dalam ucapan sulungnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan 6 Julai sebagai hari pengundian PRK, manakala 22 Jun sebagai hari penamaan calon.

Sebelum ini, Kerajaan Perpaduan telah mengumumkan Bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki, Dr Joohari Ariffin, 60, sebagai calon gabungan itu.

Kerusi Sungai Bakap diisytiharkan kosong selepas penyandangnya, Allayarham Nor Zamri Latiff, 56 tahun, meninggal dunia 24 Mei lalu ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya kerana mengalami keradangan perut.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose (PKR) dengan majoriti 1,563 undi.

Loading...
Terkini