KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyangkal dakwaan yang mengatakan cadangan untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak sebagai tidak munasabah.
Setiausaha Agung, Datuk Julita Majungki, berkata dakwaan itu tidak harus ditimbulkan, sebaliknya cadangan yang disuarakan kedua-dua negeri itu perlu dilihat berdasarkan semangat pembentukan Malaysia.
Pemimpin terdahulu yang mengasaskan pembentukan Malaysia bersetuju supaya jumlah kerusi Parlimen mewakili Sabah, Sarawak dan Singapura pada 1963 mesti melebihi satu pertiga.
“Ia adalah warisan pemimpin pengasas persekutuan di Sabah yang tidak mahu Malaya (Tanah Melayu) mendapat lebih daripada dua pertiga majoriti untuk mengelakkan mereka meluluskan undang-undang tanpa sokongan Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas pandangan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar mengenai penambahan jumlah kerusi Parlimen yang didakwanya tidak munasabah.
Wan Omar sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia tidak memerlukan penambahan kerusi Parlimen, sebaliknya perlu membuat persempadanan semula kawasan yang mempunyai ramai pengundi.
Julita berkata, sebagai bekas pegawai kanan SPR, Wan Ahmad perlu menghormati semangat pembentukan Malaysia demi kebaikan Parlimen.
Mengulas lanjut, Julita yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, berkata cadangan untuk menambah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak sudah disahkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sejak 2005.
Jawatankuasa itu yang dipengerusikan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) menyenaraikan perkara itu antara 21 cadangan penambahbaikan proses Parlimen.
Perkara itu sekali lagi disahkan Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) dalam mesyuaratnya yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.
“Banyak antara cadangan itu yang diterima pakai oleh SPR, termasuk pengurangan umur pengundi, undang-undang anti lompat dan berkaitan pembiayaan politik,” katanya.
Julita berkata, PBS berharap komen yang dibuat Wan Ahmad, walaupun sebagai bekas Timbalan Pengerusi SPR, tidak mempengaruhi tindakan SPR dalam perkara itu.
SPR perlu bersikap terbuka, selain sentiasa dilihat bebas dan bertindak secara mandiri terhadap cadangan Sabah dan Sarawak untuk menambah bilangan kerusi Parlimen di kedua-dua negeri.
“SPR tidak sepatutnya cepat menolak idea daripada pemimpin Sabah dan Sarawak yang bertujuan untuk mengukuhkan Parlimen Malaysia,” katanya.
Sabah dan Sarawak menuntut supaya jumlah kerusi di kedua-dua negeri ditambah sehingga mewakili satu pertiga atau 35 peratus daripada jumlah keseluruhan kerusi Parlimen, sama seperti nisbah kerusi yang diberikan sebelum Singapura keluar Malaysia pada 1965. -BERITA HARIAN