Tumpuan :
Politik

PAU 2023 hanya untuk ahli dan parti komponen

KUANTAN: Tiada jemputan kepada pihak lain termasuk duta asing kecuali ahli dan parti komponen pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 yang akan berlangsung pada 11 hingga 14 Januari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, itu keputusan yang dibuat Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO setakat ini.

Jelasnya, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang bagi UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk enam ‘Friends of BN’ untuk memberi tumpuan kepada isu dalaman parti.

“Kami membuat keputusan bahawa PAU kali ini adalah hanya antara parti-parti komponen sahaja. Nak selesaikan perkara berkait UMNO dan BN sahaja.

“Bukan sahaja parti lain, malah duta asing yang sebelum ini kita jemput juga kita tidak jemput. Setakat ini itulah keputusan,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Beliau hadir bagi memberi penerangan tentang isu semasa terkini negara kepada 1,309 pimpinan UMNO di setiap bahagian seluruh negeri ini. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menyentuh tentang program berkenaan, Ahmad memberitahu tujuan program terbabit diadakan adalah untuk memberi penjelasan mengenasi situasi semasa dan pembentukan kerajaan perpaduan.

“Saya harap dengan penerangan yang diberikan, seluruh pimpinan yang hadir dapat memahami situasi kerajaan perpaduan selain mengingatkan untuk melakukan persiapan bagi menghadapi PAU minggu hadapan.

“Selain itu, program seumpama ini juga akan diadakan di enam negeri lain yang akan berhadapan dengan PRN (Pilihan Raya Negeri) pada bila-bila masa akan datang.

“Kita harap selepas PAU ini nanti seluruh jentera telah bersedia dan akan meberi tumpuan untuk menghadapi PRN pula,” katanya.

Bagaimanapun katanya Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO masih belum memutuskan bagaimana bentuk kerjasama yang akan dilakukan antara parti lain di dalam kerajaan perpaduan bagi mengadapi PRN terbabit.

“Kita telah bekerjasama bentuk kerajaan. Kerjasama parti bagi menghadapi PRN belum diputuskan bagaimana rupa bentuknya.

“Parti masing-masing akan mesyuarat sendiri. Kami akan akan tumpu PRN selepas PAU.

“Bagaimana kerjasama belum ada mesyuat lagi. Kita bincangkan kemudian. Dari segi pucuk pimpinan parti belum ada mesyuarat antara BN dan parti-parti lain,” katanya.

Loading...
Terkini