comscore
Tumpuan :
Politik

PASCA PRU-15: Saarani angkat sumpah MB Perak petang ini

Datuk Seri Saarani Mohamad.

IPOH: ADUN Kota Tampan Datuk Seri Saarani Mohamad akan mengangkat sumpah Menteri Besar Perak petang ini.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Negara Perak Mohd Annuar Zaini selepas kesemua wakil tertinggi parti negeri selesai menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta tengah hari tadi.

Beliau berkata Saarani dari Barisan Nasional (BN) bersama Naib Pengerusi DAP Pe­rak Dr Aziz Bari, mewakili Pakatan Harapan (PH) menyembahkan kepada Sultan Nazrin berkaitan persetujuan kedua-dua pihak untuk membentuk kerajaan selepas gabungan itu memperoleh 33 kerusi.

Menurut Mohd Annuar, Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Pesuruhjaya PAS negeri Razman Zakaria dan Setiausaha Bersatu Datuk Zainol Fadzi Paharudin pula memaklumkan mereka hanya mempunyai 26 kerusi yang tidak cukup untuk menubuhkan kerajaan negeri.

“Oleh kerana wakil-wakil daripada PN tidak menentang, tiada pertikaian, maka baginda berpuas hati dengan apa yang dipersembahkan oleh wakil BN dan juga wakil PH iaitu mereka hanya mengemukakan satu calon tunggal sebagai Menteri Besar daripada kedua-dua belah pihak iaitu Kota Tampan Datuk Seri Saarani,” katanya di pekarangan Istana Kinta.

Mohd Annuar berkata berikutan terdapat persefahaman dan kepentingan untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) segera bersidang bagi meluluskan belanjawan, Sultan Nazrin memperkenan supaya istiadat angkat sumpah menteri besar dilaksanakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 5.30 petang ini.

PH dan BN hari ini bersetuju untuk bersama-sama membentuk kerajaan Perak selepas masing-masing mendapat 24 dan sembilan kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 26 kerusi.

Saarani yang merupakan Pengerusi BN Perak dan Pengerusi Umno Perak dipilih ADUN Kota Tampan sejak 2004 dan dilantik menjadi Menteri Besar Perak ke-14 sejak 10 Disember 2020.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pembangkang DUN Perak dari 2018 hingga 2020.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Saarani mendapat 5,468 undi menewaskan Mohd Jamil Yahya (PN) dan Mohd Sabri Abdul Manaf (PH).

Kerajaan Perak sebelum ini dibentuk dengan gabungan tiga parti iaitu BN, Bersatu dan PAS.

Loading...
Terkini