Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Barisan Nasional (BN) tidak sewajarnya berlagak menjadi wira atau ‘king maker’ dalam membentuk kerajaan ketika keadaan parti itu sendiri mengalami kekalahan teruk pada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Tegas Ketua Penerangan UMNO Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, BN perlu berpijak di bumi nyata yang ia telah menerima isyarat jelas daripada rakyat mahukan parti itu melakukan perubahan besar.
“BN tidak perlu menjadi hero atau king maker bagi membentuk kerajaan mahupun berada di dalam jemaah kabinet.
“BN perlu bermula dengan hati terbuka menerima kekalahan dan bersedia melakukan perubahan besar.
“Kita tidak mahu dilihat sebagai sebuah kerajaan yang dianggotai parti-parti yang kalah. Kita tidak mahu lagi terpalit dengan kerajaan yang gagal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas berkata, UMNO juga harus berlapang dada untuk menjadi pembangkang yang mampu buat “check and balance” kepada kerajaan yang dipilih rakyat.
“Jika ada keperluan untuk BN menyatakan sokongan kepada mana-mana gabungan parti bagi membolehkan kerajaan baru dibentuk, kita mungkin boleh bantu untuk mencukupkan kerusi sebanyak 112 secara `Confidence and Supply Agreement (CSA)’.
“Ini juga harus dilakukan tanpa meletakkan sebarang syarat jawatan dalam kabinet mahupun GLC dan kita bantu tubuhkan kerajaan untuk Malaysia bukan demi menyelamatkan individu tertentu.
“Bersedialah untuk lakukan perubahan dan itu perlu dilakukan bermula dari dalam parti,” tegasnya.
Keputusan PRU-15 yang diumumkan semalam menyaksikan BN hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen, merosot berbanding PRU-14, iaitu 54 kerusi Parlimen.