Tumpuan :
Politik

PAS tak sanggup jadi ‘yes man’ DAP – Idris

Naib Presiden PAS Datuk Idris Ahmad

TASEK GELUGOR: Keputusan PAS untuk tidak mahu lagi menjalin kerjasama dengan DAP dibuat secara kolektif dan selepas mengambil kira pelbagai aspek.

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata ia turut mengambil kira faktor PAS tak bersedia menggadaikan prinsip perjuangan parti Islam itu dengan menjadi ‘yes man’ kepada DAP.

Katanya, Majlis Syura Ulamak secara kolektif memutuskan bahawa keputusan untuk bekerjasama dengan DAP atau sebaliknya perlu dibuat berpandukan prinsip perjuangan PAS.

“Berkawan (dengan DAP) dulu pun kita namakan tahaluf, bukannya walak. Tahaluf ini hanyalah ‘smart patnership’ dalam isu tertentu, antaranya menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) ketika itu.
Ia (kerjasama) dengan syarat iaitu jangan ganggu prinsip yang PAS mahu bawa, selain kita tahu dia (DAP) punya dasar dan sebagainya. Namun, bila sampai tahap (prinsip) PAS pun kamu mahu ganggu, kita ‘withdraw’ (tarik diri).

“Kita kalau mahu menang, perlu ada prinsip. Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU 14) lagi kita boleh jadi ‘yes man’ DAP, apa dia hendak kita ikutkan semua, kemudian PAS boleh ikut jadi kerajaan dengan dia.

“Namun, kita tahu dan bersedia berdepan kekalahan ketika memasuki gelanggang PRU 14. Alhamdulillah kerana prinsip kita, biar kita kalah tidak rebah, menang tidak megah,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Mega PN Best di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai mengulas gesaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail supaya PAS mengemukakan dalil Al Quran dan hadis yang melarang parti Islam itu daripada menjalin kerjasama dengan DAP.
Saifuddin dipetik berkata pendirian terkini PAS itu bertentangan ketetapan mengenai kerjasama dengan DAP selama 14 tahun, antara 1999 hingga 2013.

Malah, katanya kedua-dua parti itu sepatutnya terus bekerjasama jika keputusan bagi tujuan demikian diputuskan berpandukan kaedah Islam.

Dalam perkembangan lain, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, PAS optimis mengulangi kemenangan Perikatan Nasional (PN) ketika PRU 15 pada pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang.

“Insya-Allah dengan mood yang ada ketika ini, kita mengharapkan momentum ini dapat dikekalkan sehingga 12 Ogos nanti,” katanya.

Loading...
Terkini