Tumpuan :
Politik

PAS Selangor Mahu Guna Logo Parti Pada PRU-15

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Tahunan PAS ke-68 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut. – FOTO: NSTP

ALOR SETAR: PAS Selangor menjadi negeri terbaharu mahu bertanding dengan menggunakan logo parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Cadangan itu dikemukakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Noor Najhan Mohamad Salleh, ketika sesi perbahasan ucapan dasar presiden di Muktamar Tahunan PAS ke-68 di sini hari ini.

“PAS Selangor, sebagaimana permintaan beberapa negeri lain seperti Kedah, turut meminta izin untuk bertanding menggunakan lambang PAS dalam PRU-15. Setuju atau tidak perwakilan Selangor?,” soalnya yang kemudian disahut dengan laungan ‘setuju’ oleh perwakilan.

Sebelum ini, PAS Kelantan, Terengganu dan Kedah bercadang menggunakan logo parti itu di negeri masing-masing pada PRU-15 dan bukannya logo Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hadir pada perasmian Muktamar Tahunan PAS itu dilaporkan berkata, cadangan berkenaan akan dibincang dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN, dijangka diadakan pada minggu depan. – BERNAMA

Loading...
Terkini