CHUKAI: Kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung usaha memujuk pemimpin UMNO yang tidak menyokong kerjasama dalam kerajaan perpaduan untuk bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) membuktikan ‘nafsu besar’ PAS menubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’.
Menyifatkannya sebagai tidak bermoral, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi menjangkakan usaha itu akan gagal melihatkan pergolakan dalam PN, merujuk tindakan empat Ahli Parlimennya menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“PAS masih bernafsu besar untuk menubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’.
“Hadi tahu dia tidak akan berjaya. Mana mungkin khususnya ahli UMNO termakan pujukan beliau walhal PN sendiri semakin berpecah,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, presiden PAS itu mendakwa PN masih berusaha menarik sokongan pemimpin UMNO yang tidak menyokong kerjasama dalam kerajaan perpaduan untuk bergabung dengan mereka.
Dalam pada itu, DAP menyifatkan pendedahan terbaharu PN itu menunjukkan mereka semakin terdesak.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, tindakan itu juga menunjukkan parti gabungan itu mahu mengganggu gugat kestabilan negara yang sudah dicapai melalui Kerajaan Perpaduan.
“Memang ini menunjukkan mereka terdesak, tak pernah berputus-asa nak memporak peranda dan mengkucar-kacirkan kestabilan politik.
“Apa yang sudah ada hari ini sebenarnya sudah cukup baik, kerajaan stabil, kerajaan boleh melaksanakan tanggungjawab dan tugasnya. Usaha seperti itu amat tidak bertanggungjawab,” katanya kepada media selepas turun berkempen di Chukai, Kemaman, malam tadi.
Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, titah Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya semua pihak memastikan kerajaan stabil juga tidak dihiraukan PAS.
“Sedangkan Yang di-Pertuan Agong berkali-kali bertitah supaya pastikan kerajaan stabil dan tidak lagi ada kucar-kacir politik dan fokus bangunkan negara.
“Tetapi mereka ini tak habis-habis berangan nak rampas kerajaan. Tunggulah sampai pilihan raya,” katanya.