comscore
Tumpuan :
Politik

PAS kecewa SPRM diam diri

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man –  Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: PAS meluahkan rasa kecewa apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum memberi sebarang reaksi terhadap pengumuman pemberian geran RM100,000 oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), yang didakwa satu bentuk cubaan sogokan.

Menurut Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man biarpun pelbagai pihak meluahkan kemarahan dan kekecewaan di media sosial atas ucapan Ahmad Zahid itu, SPRM terus mendiamkan diri.

“Ramai menanti apakah tindakan SPRM terhadap ucapan Ahmad Zahid di Terengganu yang jelas memberi sogokan dan bercanggah dengan undang-undang negara.

“Tindakan memberi pelbagai geran dan sumbangan kewangan dengan syarat mengundi Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) jelas satu rasuah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Keadaan ini berbeza apabila SPRM mengatakan tindakan Kerajaan Kelantan mahu menyediakan bas untuk kemudahan pengundi pulang mengundi, dengan tiada syarat siapa diundi, tetapi tetap dianggap satu kesalahan rasuah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Kerajaan Madani dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyalahgunakan kuasa dan membelakangi amanah dalam sebarang pengumuman dasar serta peruntukan daripada kementerian dan agensi Persekutuan sepanjang tempoh PRN.

Dalam kenyataannya, BERSIH meminta kerajaan mematuhi larangan 3C iaitu tidak bersyarat (no condition), tidak berkempen (no campaign) dan tidak membawa calon (no candidate), seperti disarankan badan itu di enam negeri yang berdepan PRN.

Kenyataan badan itu merujuk pengumuman Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhubung peruntukan lebih setengah juta ringgit membabitkan Persatuan Belia Gabungan KETENGAH berjumlah RM100,000, selain RM250,000 untuk Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri terbabit.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, BERSIH yang sebelum ini lantang memperjuangkan sistem pilihan raya bersih dan adil, turut sepi apabila parti pemerintah melakukan kesalahan.

“BERSIH kini dilihat gagal berperanan seperti ia diasaskan, kerana dilihat condong menyokong parti pemerintah khususnya PH.”Perjuangan untuk melakukan reformasi sistem pilihan raya Malaysia semakin sepi apabila beberapa tokoh mereka menyertai PH pada pilihan raya yang akhirnya BERSIH tidak lagi dilihat adil terhadap parti pembangkang,” katanya.

Justeru, Tuan Ibrahim berkata, rakyat kini menuntut tindakan segera agensi antirasuah berkenaan sebelum mereka menterjemahkan dalam peti undi pada 12 Ogos depan.

Loading...
Terkini