Tumpuan :
Politik

PAS gesa KKD ambil tindakan tegas terhadap DAP sentuh isu 3R

FOTO NSTP – Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin.

KUALA LUMPUR: PAS menggesa Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk bersikap adil dalam mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak termasuk DAP yang didakwa turut menggunakan isu 3R (agama, bangsa dan raja) secara terang-terangan sebagai modal politik.

Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin mendakwa isu 3R ini turut disentuh DAP. Antaranya kenyataan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming terhadap tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu Banda Raya Islam (MPKB).

“Kenyataan Kor Ming terhadap tindakan MPKB dalam isu pemakaian seluar pendek yang sengaja dijadikan isu bagi menyebarkan Islamofobia. Kenyataan Tony Pua (bekas setiausaha publisiti DAP) yang menggelar bukan saja Barisan Nasional (BN) tetapi parti nasionalis atau parti yang dipimpin orang Melayu sebagai korup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mendakwa kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng kononnya undi Perikatan Nasional (PN) di Pulau Pinang akan memadamkan Pulau Pinang, jelas bertujuan untuk menakut-nakutkan dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“PAS tidak akan mengikut jejak langkah DAP yang begitu terdesak sehingga sanggup menjadi batu api dengan menyentuh isu sensitif melibatkan 3R dalam kenyataan-kenyataan mereka. Rakyat harus difahamkan bahawa politik ini bertujuan untuk membangkitkan isu rakyat serta mencari penyelesaian bukannya mewujudkan persengketaan serta kebencian seperti dilakukan DAP,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PAS komited memberi keutamaan kepada isu rakyat serta tawaran PN sebagai bahan kempen dalam PRN kelak.

Isu 3R hangat dimainkan pemimpin-pemimpin politik sejak beberapa bulan lalu bagi menanam persepsi buruk terhadap lawannya dan dilihat semakin rancak menjelang PRN di enam negeri kelak. Sebelum ini juga, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan penubuhan task force siasatan membabitkan isu 3R (bangsa, agama dan raja) yang berperanan menyiasat kes membabitkan penghinaan terhadap agama, kaum dan Institusi Diraja.

Loading...
Terkini