Tumpuan :
Politik

Parti komponen kerajaan jangan rekrut ahli parti lain – Datuk Seri Ahmad Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ditemui selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah Kali Ke-4 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Parti-parti dalam kerajaan perpaduan diingatkan supaya tidak ‘merekrut’ ahli parti lain.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti-parti dalam kerajaan dinasihatkan agar menjaga kesejahteraan dan ukhwah diantara parti-parti dan menolak kepentingan peribadi.

 

“Parti dalam komponen kerajaan perpaduan tidak harus mengambil mana-mana ahli parti lain didalam komponen itu, kalau berlaku tentu mereka juga terasa hati”

“Jadi dalam keadaan sebegitu eloklah kita menjaga perpaduan dikalangan kita dan mana-mana ahli dan pimpinan parti mesti mengutamakan kepentingan partinya sendiri dan bukan kepentingan peribadinya,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah Kali Ke-4 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengesahkan tiada permohonan daripada Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk meninggalkan UMNO.

“Setakat ini tidak ada permohonan daripada beliau dan tidak bertemu dengan saya jadi kita tidak dapat mengesahkan perkara itu,” katanya lagi.

Media semalam melaporkan bahawa Tengku Zafrul yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, bakal menyertai PKR.

Malah, sumber dalaman UMNO Selangor dikatakan mendakwa, keputusan mengenainya akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Tengku Zafrul menjadi ahli UMNO Bahagian Kota Raja pada Januari 2023 sebelum mengangkat sumpah sebagai ahli MKT UMNO sebulan berikutnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini