SUBANG JAYA: Masyarakat Orang Asli perlu menolak penubuhan parti politik baru yang kononnya ditubuhkan untuk mewakili masyarakat mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa parti itu ditaja pihak tertentu, demi kepentingan mereka bukannya untuk masyarakat Orang Asli.
“Pihak penaja dan pembiaya, pihak yang menggunakan parti itu.. kita nak bagitahu, kita letakkan noktah supaya Orang Asli tidak dipecahperintahkan oleh parti itu,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana Batin dan Penghulu Orang Asli bersama pemimpin 2023 di sini, hari ini.
Pada majlis sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyampaikan pemberian saguhati secara one-off sebanyak RM1,000 kepada 624 batin dan penghulu serta RM500 untuk pengerusi dan setiausaha (JPKKOA) membabitkan peruntukan keseluruhan RM950,000.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid mahu masyarakat Orang Asli tidak terpedaya dengan dakyah pihak tertentu yang berselindung atas nama badan bukan kerajaan (NGO).
“Jika ada NGO yang menganggu tuan puan untuk memecahkan perpaduan di kalangan tuan puan..beritahu saya, saya tahu bagaimana untuk uruskan mereka ini. Kerajaan ambil tanggungjawab untuk jaga kepentingan Orang Asli.
Mereka masuk dengan pelbagai tujuan dan harapan kononnya untuk bawa kemajuan tapi saya lihat mereka ada udang disebalik batu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan tidak pernah bercadang menghapuskan Akta 134 berkaitan Orang Asli, sebaliknya yang dilakukan adalah memperkasa akta berkenaan.
“Terdapat isu semakan Akta 134 iaitu akta berkaitan dengan Orang Asli. Ada pihak yang mengatakan kononnya kerajaan mahu menghapuskan akta ini. Langkah mayat saya dulu kalau ada mana-mana pihak yang mahu menghapuskan akta ini.
Apa apa yang kami akan lakukan adalah usaha untuk memperkasa kepentingan Orang Asli dan Akta 134 ini. Dalam sesi libat urus dan perbincangan nanti, Tok Batin dan Penghulu sila beri saranan bagaimana kerajaan boleh perkasakan kedudukan Orang Asli,” katanya.