comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Pakej tawaran PN kepada Selangor bukan ‘copy paste’ manifesto PH-BN  – Muhyiddin

SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) menegaskan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion jika PN memenangi pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini bukan ‘copy paste’ (disalin tampal).

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pakej yang ditawarkan bukan meniru manifesto Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) sebaliknya berdasarkan pengalaman pimpinan PN di peringkat persekutuan dan negeri.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Tawaran Perikatan Nasional Negeri Selangor bagi pilihan raya negeri (PRN) 2023 di Seksyen 7, Shah Alam malam tadi. : Foto – NSTP/Asyraf Hamzah.

“Saya tak baca pun apa tawaran sebelah sana (PH-BN), nak copy paste apa? Kita cukup pengalaman, tak payah tengok orang buat, kita ikut buat…bukan.

Sebagai sebuah kerajaan..kita ada pengalaman (mentadbir) di (peringkat) persekutuan, di peringkat negeri. Tak payah diajar pun, kita sudah ada pengalaman lepas (mentadbir kerajaan).

Itu jadi asas yang kukuh, saya baca Menteri Besar Selangor kata saya akan tiru. Ini bukan tiru. Saya patut tanya, ada dia (Amirudin) buat RM2 billion pakej rangsangan? sama? Tak sama,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari baru-baru ini, yang mendakwa tidak menolak kemungkinan manifesto PH akan ‘disalin tampal’ oleh PN.

Muhyiddin berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Tawaran PN Negeri Selangor, di Seksyen 7 di sini, malam tadi.

Antara yang hadir, Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin; Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi; Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Selangor dan Pengerusi Perhubungan Gerakan Selangor, Datuk Henry Teoh Kien Hong.

Menurutnya,  pakej yang ditawarkan oleh PN adalah komitmen yang dibuat secara bersungguh-sungguh dan realistik.

“Kita tak buat janji kosong dan untuk memastikan segala apa dinyatakan dalam buku tawaran, kita bentuk satu jawatankuasa yang akan memerhati segala yang kita nyatakan itu dilaksanakan.

Maknanya bukan kita janji, dan kita lupa. Tapi ada satu badan memantau dan melihat setiap satu (tawaran) itu bagi sudah atau akan dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu, beliau mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan pada pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Muhyiddin berkata pakej rangsangan bertemakan ‘Selangor Baharu, Kita Bangkit’ merangkumi tujuh tunjang utama, 25 pendekatan dan 112 tawaran.

Loading...
Terkini