Tumpuan :
Politik

Noraini sahkan pertahan jawatan Ketua Wanita daripada pencabarnya, Shahrizat

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengesahkan pencalonannya untuk mempertahan jawatan disandangnya dalam pemilihan parti itu bulan hadapan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong selesai mengemukakn borang pencalonannya bagi merebut jawatan itu di Auditorium UMNO di Menara Dato’ Onn di sini, hari ini.

Ia sekali gus menyaksikan saingan dijangka berlaku bagi jawatan sayap Umno itu antara Noraini dengan pencabarnya yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Noraini berkata, beliau mengharapkan perwakilan Wanita UMNO dapat memberikan peluang sekali lagi kepada dirinya bagi menerajui sayap itu.

“Dalam wanita susah senang kita bersama kerana itu Wanita UMNO adalah wanita yang luar biasa dan apa yang diharapkan pada 11 Mac nanti perwakilan terutamanya di dalam Wanita UMNO dapat memilih dan menilai secara bijak,” katanya dipetik menerusi portal Umno Online hari ini.

Menurutnya, beliau terbuka dengan saingan yang bakal dihadapinya sekali gus menunjukkan UMNOmengamalkan demokrasi dalam menentukan barisan kepemimpinan parti.

“Kita mengalu-alukan proses demokrasi di dalam Umno ini dan sememangnya tidak ada halangan sesiapa yang menawarkan diri untuk apa-apa jawatan pun termasuk juga dalam Wanita UMNO,” katanya.

Sebelum ini, Shahrizat mengesahkan pencalonannya bagi bersaing dalam jawatan yang pernah disandangnya sebelum ini selepas mendakwa mendapat gesaan dalam kalangan pemimpin akar umbi.

Pemilihan sayap UMNOitu akan berlangsung pada 11 Mac ini ketika Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda serta Puteri Bahagian diadakan serentak di seluruh negara.

Pada tarikh berkenaan, turut diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan Umno dijadual berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini