Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Noraini pertahan jawatan, mahu perkasa Wanita ke tahap tertinggi

 

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Noraini Ahmad yang mempertahan jawatan Ketua Wanita UMNO dalam saingan sengit pemilihan sayap semalam mengajak jentera meneruskan pemerkasaan pergerakan itu ke tahap lebih tinggi.

Menerusi laman sosial Facebook pagi ini, Noraini menzahirkan ucapan terima kasih kepada Wanita UMNO di seluruh negara atas sokongan dan kepercayaan kepada beliau menjawat jawatan itu semula.

“Alhamdulillah. Segala puji hanya bagi Allah SWT.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada Wanita UMNO di seluruh negara serta sahabat #SusahSenangBersama di atas sokongan dan kepercayaan kepada saya.

‘Ayuhlah, bersama kita meneruskan pemerkasaan Wanita untuk ke tahap lebih tinggi menjadi realiti!’, katanya.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi yang diterima awal pagi tadi, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong itu memperoleh 106 undi daripada 189 bahagian yang terbabit dalam pemilihan di seluruh negara.

Keputusan rasmi pemilihan itu dijangka akan diumum Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad setelah selesai proses perkiraan undi dan penelitian dijalankan.

Saingan bagi kerusi Ketua Wanita UMNO pada pemilihan kali ini, menyaksikan kedua-dua pemimpin terbabit saling kejar mengejar dalam jumlah undi yang diterima mereka daripada peringkat bahagian.

Shahrizat, 70, yang bersara daripada politik selepas 11 tahun menerajui Wanita UMNO pada 2018, memutuskan kembali ke gelanggang selepas mendakwa mendapat permintaan daripada kalangan pemimpin akar umbi.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Loading...
Terkini