comscore
Tumpuan :
Politik

Noh Omar sertai BERSATU

Tan Sri Noh Omar. – FOTO: NSTP

TANJONG KARANG: Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar hari ini mengumumkan menyertai BERSATU selepas dipecat UMNO tahun lalu kerana melanggar disiplin parti pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Noh berkata, beliau memohon untuk menyertai BERSATU secara dalam talian semalam dengan mengisi borang dan terus diterima.

“Tiada siapa yang tahu. Kemudian saya terus dapat sijil menjadi ahli BERSATU,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan, hari ini.

Beliau berkata, keputusan drastik itu dibuat selepas kecewa dan sedih dengan nasib menimpa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak berjaya mencabar Titah Adendum di mahkamah.

Mahkamah Tinggi semalam, menolak permohonan bekas presiden UMNO itu memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan untuk memaksa penzahiran titah adendum dikatakan, dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, membolehkannya menjalani tahanan di rumah.

Noh berkata, keputusan untuk menyertai BERSATU agak berat dan lebih setengah tahun baru berbuat demikian kerana mengingati pesanan Najib yang ditemuinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sebelum ini.

“Saya masih ingat pesanan beliau kepada saya. ’Noh, you kena sabar, jangan masuk mana-mana parti. Bertenang dan bersabar…Insya-Allah perjuangan kita akan berjaya’.

“Saya menghormati dan mematuhi pandangan serta arahan daripada beliau. Sebab itu saya tidak memasuki mana-mana parti politik sebelum ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini