Tumpuan :
Politik

Nilai aset Rafizi Ramli RM18.85 juta

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR: Calon Parlimen Pandan, Rafizi Ramli tampil mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.

Timbalan Presiden PKR itu, berkata pengisytiharan harta dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 sejajar dengan syarat dikenakan PKR agar calon bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu berbuat demikian.

Kebanyakan asetnya diperoleh daripada pelaburan saham dalam Invoke Sdn Bhd, syarikat tinjauan awam yang diasaskannya.

Jumlah ini, termasuk pelaburan dalam Boustead Holdings Berhad milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan polisi insurans di Prudential.

Bagaimanapun jumlah ini sangat sedikit berbanding pelaburan di Invoke.

Jumlah keseluruhan pelaburannya ialah RM16.74 juta.

Selain itu, aset lain diisytihar termasuk, tunai dan simpanan: RM1.17 juta, dua hartanah di Bukit Antarabangsa, Selangor, RM1.6 juta, Kereta Peugeot 3008 dan Honda Accord, RM110,00 dan pendapatan bulanan sebanyak RM23,500.

Pecahan perbelanjaan bulanan juga diperincikan, termasuk ansuran rumah dan kereta, bil-bil utiliti, persekolahan anak, makan minum dan pemberian kepada isteri dan ibu bapa.

“Saya calon Parlimen Pandan (P100) PRU15, mengisytiharkan sudah berumah tangga, mempunyai seorang isteri dan seorang anak berumur sembilan tahun. Sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen penggal 2013 hingga 2018, saya tidak pernah menyalahgunakan kuasa mengayakan saya, isteri, anak atau mana-mana ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan emel, hari ini.

“Semua anggaran yang terkandung di dalam pengisytiharan ini dibuat dengan usaha terbaik dan berdasarkan dokumen, rekod dan ingatan saya. Semua aset yang diberi nilai pasaran terkini adalah berdasarkan anggaran terbaik saya.

Semua butiran itu dinyatakan dalam akuan berkanun (SD) yang salinannya dikongsi bersama media sebentar tadi.

Sementara itu, kata Rafizi, pengisytiharan harta calon-calon lain PKR akan dipaparkan di laman www.calonkeadilan.org bermula petang esok.

Dia juga akan menyentuh perkara itu dalam sidang media kempen pilihan raya umum PKR di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya esok. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini