KOTA BHARU: Adik kepada Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat mendedahkan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah adalah punca kepada anak saudaranya, Nik Mohamad Abduh tidak dicalonkan pada pilihan raya negeri (PRN) di Kelantan.
Nik Din Nik Mat turut mendedahkan nama bekas Ahli Parlimen Bachok itu pada awalnya ada disenaraikan sebelum ditolak oleh Mohd Amar.
Malah katanya Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri turut menghantar surat meminta PAS Kelantan menyenaraikan nama Nik Mohamad Abduh.
Dakwanya, tindakan itu dibuat kerana calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor itu tidak mahu keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz bertapak di Pengkalan Chepa.
Pendedahan itu dikongsikan menerusi satu rakaman video berdurasi dua minit 33 saat yang tular hari ini dan kemudiannya turut disahkan oleh Nik Din sendiri.
“Oleh itu saya merayu kepada mereka yang melihat video ini termasuk pengundi di DUN Panchor supaya tidak mengundi Mohd Amar dan biar beliau kalah.
Biar dia tahu langit tinggi rendah kerana dia naik pun kerana rakyat. Biar dia kalah sekali dan rasa. Sekiranya ada orang seperti ini dalam PAS, ia akan merosakkan parti,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Nik Mohd Abduh tidak tercalon pada PRN di Kelantan walaupun nama beliau disebut-sebut bakal bertanding di satu kerusi dalam Parlimen Pengkalan Chepa.