KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa tindak tanduk 12 menteri Perikatan Nasional (PN) adalah punca serta merta yang mencetuskan isu ketidakpercayaan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Presiden UMNO itu berkata, sedangkan perkara itu boleh dibincangkan dalam Kabinet tanpa perlu terus kepada Istana Negara dan dihebahkan pula kepada awam.
“Hari ini Mahiaddin Yassin (Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan tindak tanduk kelompok mereka menyebabkan Perdana Menteri terpaksa membubarkan Parlimen.
“Sedangkan Perdana Menteri menegaskan tindakan 12 menteri bersikap tidak wajar mengutuskan warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong jelas membelakangkan institusi Perdana Menterilantikan Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Malah mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan yang menyebabkan baginda menzahirkan kekecewaan terhadap perkembangan politik semasa tanah air.
“Ternyata tindakan ini adalah niat jahat musuh Barisan Nasional (BN) untuk mengaibkan Perdana Menteri dari BN,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, Perdana Menteri boleh sahaja memecat 12 menteri terbabit, namun ia hanya akan membawa krisis yang lebih besar, parah dan memalukan pentadbiran negara.
“Ia juga akan membabitkan undi tidak percaya dan sebagainya. Maka, jalan terbaik untuk berdepan dengan karenah ahli Kabinet tidak berdisiplin inilah Perdana Menteri pergi mengadap Yang di-Pertuan Agong dan memohon perkenan baginda untuk membubarkan Parlimen.
“Ini sesuai juga bagi mengembalikan mandat kepada rakyat, yang sebelum ini ramai yang melompat parti, menjawab cabaran Muhyiddin untuk bubar Parlimen, dan memastikan kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara tidak terganggu pada masa akan datang,” katanya.
Di sebalik penafian Muhyiddin, beliau berkata, parti itu juga menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri selain mendedahkan perjanjian persefahaman beliau.
“Sedangkan BERSATU sudah ada jawatan Menteri kanan, Menteri-menteri dan jawatan GLC. Tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri terbabit tidak sensitif dengan situasi pemulihan ekonomi negara dan dasar jimat cermat negara. Sebaliknya BERSATU asyik memikirkan mengenai jawatan, pangkat dan kedudukan sahaja,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, Muhyiddin juga pernah mengancam untuk menekan butang menarik sokongan terhadap kepimpinan Ismail Sabri.
“Kali kedua, apabila secara terbuka Muhyiddin juga selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara menyatakan Perdana Menteri gagal menguruskan negara dan ekonomi dengan baik.
“Sedangkan beliau sendiri Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), pemimpin BERSATU sendiri Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
“Malah Muhyiddin menyarankan Parlimen dibubarkan atas kegagalan itu. Kata beliau lagi perlu ada kerajaan baharu yang lebih cekap. Namun Muhyiddin cuba menafikan kenyataannya sendiri,” katanya.
Beliau berkata, ternyata dalam tempoh tidak sampai lima tahun, akibat ketidakstabilan politik sudah terdapat tiga perdana menteri bertukar ganti.
“Semoga tragedi politik ini tidak berulang kembali dan perlu diingati selama-lamanya oleh rakyat jelata, sedangkan rakyat sangat mahukan kerajaan yang stabil dan harmoni.
“Insya Allah apabila BN mendapat mandat besar dan kembali menerajui kerajaan perkara ini tidak akan berlaku,” katanya.
Semalam, Muhyiddin menyifatkan tindakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyalahkan beliau dan 12 menteri PN sebagai punca diadakan PRU-15 sebagai tidak bertanggungjawab.
Pengerusi PN itu berkata, Perdana Menteri tidak sepatutnya menyalahkan sesiapa berhubung perkara itu, sebaliknya perlu bertanggungjawab terhadap apa yang sudah dilakukan. – BERITA HARIAN