KUALA LUMPUR: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin menyifatkan dakwaan beliau bertelagah dengan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dibuat pihak yang ketandusan modal politik. Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata pihak berkenaan hanya mahu melaga-lagakan pimpinan parti itu dan gabungannya.
Arkitel berkaitan: Pimpinan BERSATU nafi wujud krisis Muhyiddin-Hamzah
“Ini macam cerita Timbalan Presiden (BERSATU) dan Ketua Penerangan (PN) sebelum ini. Sengaja dibuat pasal sudah tidak ada modal. Mereka mahu melaga-lagakan, sedangkan dalam parti kita antara yang paling harmoni. PAS, BERSATU dan GERAKAN tidak ada masalah langsung. Dalam parti masing-masing pun stabil, tak ada krisis. Ada dengar bergaduh? Bila masa saya bertumbuk dengan Datuk (Seri) Hamzah? Tidak ada. Segalanya dibuat-buat.. janganlah percaya,” katanya.
Muhyiddin ditemui ketika satu sidang media di sini petang tadi. Turut hadir pada sidang media itu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau.
Sebuah portal berita sebelum ini mendakwa Muhyiddin dan Hamzah bertelagah mengenai hala tuju parti itu. Ini berkaitan timbul khabar angin yang menyatakan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mungkin digantikan sebagai ketua pembangkang di Parlimen. Mengulas lanjut, Muhyiddin percaya pihak berkenaan membuat dakwaan itu untuk mengalihkan perhatian kepada masalah yang sedang berlaku terhadap lawannya.
“Ini perbuatan ‘cywar’ oleh ‘cybertroopers’ mereka (pihak lawan) yang menggunakan media sosial untuk mengalih pandangan terhadap isu pokok yang tidak diselesaikan mereka,” katanya.
Menyentuh pelawaan PN kepada bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin; beliau menyatakan tidak ada apa-apa perkara baru yang dapat dikongsikan.
“Tanya dia. Dia pun ada jawab dalam Podcas. Tak perlu saya bincang panjang perkara itu. Saya sudah nyatakan apa yang patut kita bincang. Beliau pun sudah memberi penjelasan dalam media arus perdana. Itulah apa yang sudah berlaku setakat hari ini,” katanya. – BERITA HARIAN.