comscore
Tumpuan :
Politik

Muhyiddin, Hadi Awang, Abang Jo bincang pembentukan kerajaan Persekutuan

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima kunjungan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Bekas Perdana Menteri yang juga Presiden BERSATU itu melalui hantaran di Facebook, memuat naik gambar pertemuan mereka yang turut disertai Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan seorang lagi individu tidak dikenali.

Bagaimanapun, lokasi pertemuan berkenaan tidak dinyatakan, namun dipercayai ia diadakan di kediaman Muhyiddin di ibu negara.

“Pagi ini saya menerima kunjungan YAB Tan Sri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, Premier Sarawak dan YB Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.

“Untuk membincangkan pembentukan Kerajaan Persekutuan. Rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan Ahli Parlimen bebas. Insya-Allah, Kerajaan Persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat,” tulisnya.

PRU-15 semalam menjadi saingan paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan PN dengan 73 kerusi, setakat 4.30 pagi tadi, apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan keputusan bagi 219 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

PN membuka gelanggang buat kali pertama dalam pilihan raya umum dengan mempamerkan prestasi mengagumkan apabila menyapu bersih 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan lapan di Terengganu menggunakan logo PAS.

PN juga membentuk kerajaan negeri di Perlis setelah memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Barisan Nasional (BN) pula mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah politiknya apabila hanya menang 30 daripada 178 kerusi yang ditandingi.

GPS menang 22 kerusi, berbanding 18 kerusi disandangnya pada Parlimen lalu; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan enam kerusi; Warisan (3); Bebas (2) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih satu kerusi. Gerakan Tanah Air (GTA) gagal memenangi sebarang kerusi.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media pada jam 5 pagi, berkata tiada pihak yang memperoleh majoriti 50 peratus daripada 219 kerusi yang diisytiharkan.

Pilihan raya bagi kerusi Parlimen Padang Serai di Kedah ditangguhkan kepada 7 Disember selepas calon PH, yang juga penyandang kerusi, M Karupaiya meninggal dunia pada 16 November.

Pengundian di 11 pusat pengundian di kawasan Parlimen Baram di Sarawak digantung berikutan cuaca buruk menyebabkan petugasnya tidak dapat ke pusat berkenaan, manakala SPR tidak dapat mengumumkan keputusan kerusi Parlimen Kota Marudu, juga disebabkan cuaca.

Situasi ini menepati ramalan penganalisis politik bahawa tiada parti memperoleh majoriti mudah selain menjangkakan kerajaan yang akan dibentuk adalah kerajaan campuran.

Bagi pilihan raya umum kali ini, penguatkuasaan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti berkuat kuasa 5 Oktober lalu, menghalang Ahli Parlimen yang menang untuk bertukar parti bagi memperoleh majoriti.

Menerusi pindaan Perlembagaan berkenaan, seorang ahli Dewan Rakyat akan hilang kerusi dimenanginya jika bertukar parti, namun tidak melarang mana-mana gabungan daripada bekerjasama dengan gabungan atau parti lain untuk membentuk kerajaan campuran. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini