Oleh: Kumaran Rajamoney
KUALA KEDAH: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini tampil menjawab persoalan dikemukakan Datuk Seri Saifuddin Nasution tentang kehadiran warga China dalam Menteri Besar Incorporated (MBI).
Jelasnya, individu bernama So Loi Fat yang didedahkan Menteri Dalam Negeri itu sudah berada di negara ini sebelum beliau memasuki pejabat Menteri Besar.
Tegasnya, kenyataan bahawa Loi Fat memasuki negara ini selepas surat ditulisnya kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada 2020, adalah tidak betul.
“Saya hanya kenal beliau dengan nama ‘Mr So’ iaitu pemilik syarikat Prospek Suria. Beliau tidak boleh berbahasa melayu atau Inggeris dan menggunakan penterjemah bagi bercakap dengan saya.”
“Dia memang sudah ada kerjasama dengan MBI sebelum saya menjadi Menteri Besar. Dia datang dengan seorang peguam dan peguam itu adalah kawan rapat Saifuddin yang kalau saya sebut namanya, Saifuddin mungkin terkejut,” katanya.
Sanusi mendakwa peguam yang hadir bersama Loi Fat pernah bersama Saifuddin dalam Sekretariat Pakatan Rakyat satu ketika dulu.
Tambahnya, Loi Fat pernah memberitahunya yang dia telah berhabis sebanyak RM30 juta untuk melobi projek dengan pembayaran beresit bernilai kira-kira RM5 juta.
“Yang tak ada resit, saya tak tahu. Selain itu, Loi Fat turut menunjukkan saya video bagaimana mahu mengekstrak REE menggunakan teknik ‘in situ leaching’.
“Memandangkan dia sudah ada kerjasama yang lama (bersama MBI) dan sudah habiskan banyak duit, maka saya kata teruskan sajalah dengan mengikut undang-undang,” katanya.
Dalam pada itu Sanusi berkata, beliau pernah menyebut nama ‘Mr So’ dalam sidang DUN Kedah dan membuat penegasan sekiranya benar Prospek Suria mencuri REE, hanya dua orang yang perlu ditangkap untuk menyelesaikan kes tersebut iaitu Mr. So dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI, Muhammad Sobri Osman.
“Tetapi bukan mereka yang mencuri sebaliknya yang ditangkap berbuat demikian adalah warganegara Malaysia bernama Ho Chung Meng berasal dari Kuala Krai, Kelantan,” katanya.
Jawapan bagi persoalan lain katanya akan diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya disiasat.
Beliau berkata demikian ketika turun berkempen untuk calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan, Datuk
Salleh Saidin di sini, hari ini.