Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Momentum sokongan lebih baik, BN yakin kebijaksanaan rakyat Kedah – Mahdzir

 

Oleh: Kumaran Rajamoney

PADANG TERAP: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yakin rakyat di negeri ini sudah mula kembali memberikan sokongan kepada parti itu, melihat kepada momentum positif sepanjang tempoh kempen pilihan raya negeri (PRN).

Jelasnya, beberapa tempat yang disenaraikan sebagai kawasan “hitam” dan sukar ditembusi, menunjukkan peralihan sokongan dan telah mula menerima gerak kerja kempen BN.

Keadaan ini katanya, menolak andaian gelombang perubahan yang tercetus pada pilihan raya umum (PRU) lalu, masih ada dan menyebelahi Perikatan Nasional (PN).

“BN bertanding di 15 kerusi. Kita boleh rasa adanya aura baharu sokongan kembali kepada BN.

Disebalik sokongan yang diberikan pengundi kepada PN pada PRU lalu, pengundi mula merasakan lompong khidmat bakti di kalangan wakil rakyat. Walaupun kita ‘underdog’ dalam PRN ini, namun rekod baik khidmat saya dan parti BN difahami,” katanya.

Justeru, beliau yakin rakyat di negeri ini tidak akan terkesan dengan cubaan membentuk gelombang, sebaliknya akan memilih wakil yang mahu berkhidmat kepada pengundi.

“Rekod perkhidmatan memainkan peranan dalam pemilihan. Sama ada individu atau parti, perlu dinilai dari segi keupayaan menzahirkan segala keperluan rakyat setempat. Tidak sekadar berucap di pentas ceramah ketika kempen semata-mata,” katanya.

Dalam pada itu Mahdzir berkata kalangan jentera dan penyokong BN tidak harus terikut-ikut rentak dimainkan pihak lawan yang menggunakan kata-kata kasar dalam ceramah dan kempen.

“Tak payah gunakan bahasa kasar atau nak lawan semula kata-kata mereka. Sebagai contoh Muhammad Sanusi ketika berucap sebelum ini menggunakan perkataan ‘aku sepak satgi’ yang ditujukan kepada saya.

Itu terpulanglah kepadanya tetapi budaya kita bukan macam itu. Tak payahlah nak jawab balik sebaliknya kita fokus kepada pengundi dan kita yakin rakyat Kedah bijak membuat pilihan,” katanya.

Loading...
Terkini