KOTA BHARU: ADUN Panchor, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan baharu pada persidangan DUN Kelantan, hari ini.
Beliau yang juga bekas timbalan menteri besar menggantikan Datuk Abdullah Ya’kub.
“Saya, Mohd Amar yang dilantik sebagai Speaker atas sifat saya dalam jawatan demikian, saya bersumpah dengan setianya akan menunaikan kewajipan dengan sedaya upaya saya.
“Saya akan setiawan bertaat setia dengan negeri Kelantan dan saya akan pertahan negeri Kelantan. Saya juga akan taat setia kepada Sultan Kelantan dan waris gantinya menurut undang-undang,” katanya ketika mengangkat sumpah jawatan itu.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, mencadangkan Mohd Amar sebagai Speaker sebelum ia disokong Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Yakub.
Pada masa sama, ADUN Kok Lanas, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi dari BERSATU dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Kelantan.