comscore
Tumpuan :
Politik

Mesyuarat MKT UMNO Tumpu PRU-15

Datuk Seri Bung Moktar Radin tiba di ibu pejabat UMNO di Menara Dato Onn.

KUALA LUMPUR : Beberapa ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tiba di ibu pejabat parti itu di Menara Dato Onn di sini, bagi menghadiri mesyuarat khas susulan pembubaran parlimen, hari ini.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Antara yang dilihat tiba ialah Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, Datuk Seri Dr Shamsul Anwar Nasarah dan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Difahamkan, agenda utama mesyuarat yang bermula pada 8 malam itu tertumpu kepada persiapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) termasuk jentera serta pemilihan calon yang bakal bertanding.

Sementara itu, Bung Moktar ketika ditemui berkata, mesyuarat malam ini penting untuk memperkasakan jentera di semua peringkat menjelang PRU-15.

“Untuk menang, Umno dan Barisan Nasional (BN) kena bekerja ibarat orang yang nak menang, gaya seperti orang menang.

“Kalau cuma mahu menang tapi bekerja seperti tak mahu menang, itu useless (tidak berguna)… Insya-Allah kita akan bekerja keras untuk mendapatkan kemenangan kepada BN,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada PRU-15.

Perdana Menteri membuat pengumuman itu menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, menerusi siaran televisyen dan media dalam talian pada 3 petang ini. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini