KUALA LUMPUR: UMNO memanggil mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu malam esok, dipercayai bagi memperinci persiapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) serta memuktamadkan bentuk kerjasama dengan PAS pada PRU kelak.
Sumber parti itu yang dihubungi BH mengesahkan sudah menerima makluman mengenai panggilan mesyuarat itu menerusi surat dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bertarikh 7 Oktober.
Katanya, mesyuarat dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada jam 8 malam itu turut dijangka menyentuh jangkaan tarikh pembubaran Parlimen yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Kita lihatlah nanti. Perdana Menteri mungkin akan beri maklumat itu (dalam mesyuarat esok),” katanya ringkas tanpa memperincikan lebih lanjut agenda khusus yang akan dibincangkan.
Ditanya sama ada mesyuarat khas itu ada kaitan dengan perkembangan terkini susulan perjumpaan Ismail Sabri dengan Yang di-Pertuan Agong pada Khamis lalu, beliau hanya menjawab “mungkin juga.”
Jangkaan ramai pihak kononnya pembubaran Parlimen akan dibuat minggu ini atau sebelum pengumuman Bajet 2023 meleset, apabila Ismail Sabri hingga kini masih berteka-teki mengenai bila pengumuman pembubaran akan dibuat.
Sementara itu, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Sumali Reduan yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp turut mengesahkan mesyuarat khas itu esok.
“Ya (mesyuarat khas MKT esok),” katanya.
Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mendesak PAS menyatakan pendiriannya dalam masa terdekat berhubung ketetapan itu dengan meminta parti terbabit memutuskan hubungan bersama Perikatan Nasional (PN) dan BERSATU jika memilih Barisan Nasional (BN) sebagai rakan sekutu pada PRU15.
Namun, dalam kenyataan semalam, PAS dilihat masih berteka-teki sama ada akan menjalinkan kerjasama dengan BN pada PRU15 dengan memutuskan untuk meneruskan usaha penyatuan ummah, membabitkan ketiga-tiga parti teras Melayu, termasuk UMNO dan BERSATU.
Keputusan itu dibuat PAS selepas selesai mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja parti itu di ibu negara dan dipengerusikan Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang. -BERITA HARIAN