Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan
KUALA LUMPUR: Mengulas dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengatakan Barisan Nasional sukar untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) November ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya juga meramalkan parti itu juga sukar untuk menang.
Menurut laporan, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, berdasarkan statistik tinjauan yang dibuat parti itu, 63 peratus rakyat tidak berpuas hati dengan Kerajaan Persekutuan, manakala 78 peratus kecewa dengan prestasi ekonomi negara.
“Samalah, kita pun dari segi kajian kita, mereka sukar untuk menang pilihan raya. Semua orang yang bertanding pilihan raya ni, semua yakin menang, kalau semua tak ‘confident’ menang, seorang pun tak mahu masuk bertandinglah. Jadi masing-masing mesti kata parti dia menang.
“Dr Mahathir (Parti GTA) pun kata dia akan menang, PH pun kata akan menang, PN kata menang, jadi sudah tentulah BN kata kita akan menang”, katanya siang tadi.
Ketika mengulas status permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebagai komponen Barisan Nasional (BN) menjelang PRU-15, beliau memberitahu yang BN masih pertimbang permohonan PBM sebagai rakan komponen.
Katanya, pihaknya masih belum membuat sebarang keputusan termasuk menolak permohonan parti itu.
“Kita tak tolak, tapi masih mempertimbangkan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Taklimat Khas sempena PRU-15 dan Monsun Laut 2022 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.